Sepatutnya tugasnya adalah untuk menjaga kebajikan pesakit di hospital, tapi lain pula yang lelaki ini buat lepas dia pergi bunuh pula pesakit-pesakit yang diamanahkan kepadanya. Alasan lelaki ini adalah pembunuhan yang dilakukannya itu sebab kesiankan mangsanya yang kebanyakannya sakit tenat dan tak mahu mereka terseksa lama.
Ini adalah kisah Donald Harvey, staf hospital yang disabitkan kesalahan membunuh seramai 37 orang pesakit tenat di hospital sekitar tahun 1970 hingga 1987.
Mula tertarik dengan kematian lepas melawat atuk nazak di hospital
Dilahirkan pada tahun 1952, Donald Harvey dikatakan telah menjadi mangsa penderaan bapa saudara dan jirannya sejak berusia empat tahun. Di sekolah, Harvey diingati sebagai seorang remaja bijak yang disukai guru-guru tetapi dia dipulaukan pelajar lain.
Harvey berhenti sekolah pada gred sembilan dan ketika inilah dia mula tertarik dengan kematian selepas melawat datuknya yang nazak di hospital.
Oleh kerana dia kerap melawat datuknya di hospital berkenaan, Harvey difahamkan telah ditawarkan kerja di hospital terbabit dimana tugasnya adalah untuk memberikan ubat dan menjaga kebajikan pesakit-pesakit di hospital berkenaan.
Setelah sekian lama mempunyai kuasa mengawal hidup pesakit di hospital, Harvey mula sukakan rutin hidupnya yang dianggap menjadi penentu sama ada seseorang pesakit itu hidup atau mati.
Tak siapa perasan pembunuhan sebab staf lain terlalu sibuk

Harvey melakukan pembunuhan pertamanya dua minggu selepas diterima bekerja di hospital berkenaan. Pelbagai cara digunakan Harvey untuk membunuh pesakitnya termasuklah melemaskan dengan bantal, sengaja tak isi tangki oksigen dan memberikan racun tikus atau sianida kepada mangsanya melalui makanan mereka.
Dianggarkan, pada waktu tu, Harvey dah membunuh 13 orang pesakit tetapi tak siapa mengesyaki Harvey sebab semua mangsanya adalah pesakit tenat. Selain itu, doktor yang bertugas di hospital berkenaan selalu overworked, jadi, selalunya pesakit yang meninggal dunia ini akan terus dihantar ke rumah mayat.
Jenayah Harvey difahamkan berlanjutan selama hampir sedekad sebelum satu ujian autopsi pada mayat pesakit kemalangan motosikal, John Powell pada tahun 1987 menemukan racun sianida dalam perutnya, sekali gus membongkar apa sebenarnya yang sudah berlaku di hospital terbabit.
“Saya bunuh atas dasar kasihan dan tak nak mereka lama terseksa” – Donald Harvey
Selepas beberapa kali dipanggil untuk soal siasat, Harvey yang ketika itu merupakan seorang jururawat akhirnya mengaku bersalah membunuh John Powell dengan memberikannya racun sianida dalam makanan.
Enggan membuat ujian pengesan penipuan, Harvey berkata dia memilih untuk mengambil nyawa Powell kerana kasihankan pesakit itu dan keluarganya.
Hasil siasatan lanjut, pihak berkuasa berjaya mengumpul bukti yang cukup untuk mendakwa Harvey atas kesalahan membunuh 37 pesakit. Dalam masa empat tahun, lelaki itu telah membunuh 21 pesakit di Drake Hospital, Cincinnati. Sekitar tahun 1970 hingga 1971 pula, Harvey didapati bersalah membunuh 13 orang pesakit di Marymount Hospital, Kentucky.
Ketika ditemubual mengenai jenayahnya, Harvey sekali lagi menegaskan kebanyakan pembunuhan yang dilakukan atas dasar belas kasihan.
“Saya rasa apa yang saya buat tu betul. Saya tak bagi orang terseksa. Saya harap kalau saya sakit dan perlu disambungkan pada banyak wayar, ada orang juga akan tamatkan riwayat saya dengan cara sama,” katanya.
Digelar media dengan gelaran Malaikat Maut, Harvey dijatuhkan hukuman penjara seuumur hidup atas kesalahan membunuh seramai 37 orang pesakit. Meskipun, pihak berkuasa menganggarkan jumlah sebenar mangsa Harvey adalah sekitar 40 hingga 57 orang, Harvey sendiri mendakwa dia sebenarnya sudah membunuh hampir 90 pesakit.
Pada 30 Mac 2017, Donald Harvey yang berusia 64 tahun menemui ajal di penjara selepas dia dipukul sehingga mati oleh banduan lain.
Sumber: All That’s Interesting