Hidup di kawasan kejiranan sememangnya mengajar orang ramai untuk bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain.
Namun, terdapat segelintir jiran yang tidak bertimbang rasa serta lebih mementingkan diri sendiri. Situasi ini nampaknya turut berlaku kepada salah seorang penghuni flat di Singapura ketika sedang melihat jemuran di ampaian rumah.
Memetik sumber Mothership, seorang penduduk yang dikenali sebagai Tan terkejut selepas melihat pakaiannya di ampaian mempunyai kotoran cecair berwarna coklat.
Pada awalnya, Tan menganggap kotoran tersebut adalah daripada minuman kopi tetapi apabila dilihat semula, rupanya cecair kicap daripada beberapa keping daging babi yang jatuh dari ampaian jirannya di tingkat atas.
“Perkara ini pertama kali berlaku kepada saya sejak 14 tahun saya tinggal di flat ini,” kata Tan.
Tan memaklumkan dia amat mengenali jiran yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut dan mahu menegur mereka.
Pun begitu, Tan hanya memberi teguran kepada jirannya itu tentang perkara lain dan bukan berkaitan titisan air dari jemuran daging babi tersebut kerana mereka dilihat seperti individu yang kurang mesra.
Justeru, Tan bercadang untuk membuat laporan berkaitan masalah tersebut kepada Majlis Perbandaran Chua Kang.
Dalam pada itu, tindakan sebegini akan memberi kebimbangan kepada jiran yang beragama Islam. Selain itu, kepingan daging yang dibiarkan bergantung di tempat terbuka juga boleh menarik perhatian haiwan seperti burung.
Baca: “Ingatkan nak mencuri” – Aksi Jiran Panjat Pagar Lalu Alihkan Ampaian Terima Pujian Ramai