Pada hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman untuk membela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan RM1.12 juta dana parti.
Menurut Awani, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq dalam empat pertuduhan iaitu pecah amanah, salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Kronologi kes pecah amanah dan salah guna harta Syed Saddiq
Untuk memberi kefahaman yang mendalam kepada korang semua, mari min kongsikan kronologi kes yang telah berlaku sejak dua tahun lepas.
22 Julai 2021
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada bernilai RM1 juta telah difahamkan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral, pada 6 Mac 2018.
Dia telah didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu sebanyak RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut. Kegiatan tersebut telah dilakukan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 hingga 21 April 2018.
5 Ogos 2021
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dimana dia telah memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. Dia melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
23 Ogos 2021
Syed Saddiq memohon empat pertuduhan yang dihadapinya itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan difahamkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu.
Beliau juga turut menasihati Syed Saddiq untuk supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kesnya.
24 Mac 2022
Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik Armada.
21 Jun 2022
Ibu bapa Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff hadir memberi keterangan pada hari perbicaraan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.
7 Julai 2022
Pihak pembelaan memohon mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia Rafiq Hakim Razali, berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.
18 Julai 2022
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Syed Saddiq untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim.
22 Julai 2022
Syed Saddiq sekali lagi memohon untuk mencabar kredibiliti saksi (Rafiq Hakim) kerana terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah.
25 Julai 2022
Salinan percakapan Rafiq Hakim yang dirakam SPRM telah diarahkan untuk beri kepada mahkamah untuk penelitian.
27 September 2022
Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.
28 Oktober 2022
Keputusan selanjutnya diumumkan, Syed Saddiq Abdul Rahman diarah untuk bela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan dana yang difahamkan sebanyak 1.12 juta.
Dituduh mengikut akta yang berbeza
Syed Saddiq didakwa mengikut akta yang berbeza iaitu untuk pertuduhan pecah amanah berjumlah 1 juta, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit keslahan.
Pertuduhan kedua iaitu menyalahgunakan harta sebanyak RM120,000 pula dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Manakala untuk pertuduhan yang lain masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Apa-apapun kita tunggu sahaja keputusan mahkmah…
Baca: Syed Saddiq Gesa Panjangkan Cuti Umum Deepavali Seperti Sambutan Perayaan Lain