Seseorang individu dianggap mengalami demam sekiranya suhu badan meningkat di atas purata normal dan keadaan ini adalah disebabkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan. Ianya bukanlah penyakit, tetapi lebih kepada gejala masalah kesihatan, menurut WebMD.
Walaupun suhu badan normal ini berbeza dan bergantung antara individu, seseorang itu akan dikatakan mengalami demam sekiranya ia meningkat melebihi 38 darjah Celsius.
Akhir-akhir ini, semakin banyak jangkitan demam influenza yang bukan hanya menjangkiti orang dewasa, malah turut dikesan pada kanak-kanak selain pelbagai lagi penyakit seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta Covid-19.
Terbaharu, doktor di India menyatakan kebimbangan mengenai penemuan satu virus baharu yang digelar ‘demam tomato’ yang menjangkiti puluhan kanak-kanak di negara itu dan menurut laporan media tempatan, jangkitan ini mula dikesan sejak Mei lalu di selatan Kerala dan dikhuatiri ianya merupakan varian baharu bagi penyakit tangan, kaki dan mulut.
Sehingga kini, seramai 82 orang kanak-kanak berusia lima tahun dan kebawah dikesan mempunyai demam tomato manakala 26 mangsa lain berusia sehingga 10 tahun berisiko dijangkiti virus yang sama.
Menurut laporan, nama ‘demam tomato’ ini digunakan kerana ia berpunca daripada demam yang kemudiannya menyebabkan lepuh merah yang menyakitkan di seluruh badan pesakit. Keadaan lepuhan ini akan menggelembung dan menjadi sebesar saiz tomato secara berperingkat.
Selain itu, kebanyakan pesakit akan mengalami demam panas, sakit sendi yang teruk, keletihan serta cirit-birit.
Menurut pakar perubatan dalam jurnal perubatan The Lancet Respiratory Medicine, kanak-kanak di bawah 5 tahun lebih berisiko untuk terdedah kepada demam tomato kerana jangkitan virus dalam kumpulan ini adalah perkara biasa.
Tambah laporan berkenaan lagi, kumpulan ini mudah untuk mendapat jangkitan melalui penggunaan lampin, sentuhan pada permukaan yang tidak bersih dan tabiat mereka yang suka memasukkan sebarang benda terus ke dalam mulut.
Pertama kali dikesan di Kollam, timur Kerala pada 6 Mei lalu, kes terakhir dilaporkan adalah pada 26 Julai dan buat masa sekarang ini, tiada ujian atau rawatan khusus bagi menangani virus terbabit.
Langkah yang diambil setakat ini adalah untuk mengasingkan pesakit selama lima hingga tujuh hari dari permulaan simptom selain mereka disarankan untuk banyak berehat, minum banyak cecair dan juga mengambil paracetamol.
Baca : Virus Terbaru ‘Langya’ Dikesan Di China, 35 Kes Dicatatkan Setakat Ini