Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent dan Berjaya Land.
Ia berkaitan dengan kenyataan Sanusi yang berbaur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) semasa acara jelajah Perikatan Nasional pada 2 Ogos lalu.
Difahamkan, antara kenyataan berbaur fitnah dilemparkan adalah menggambarkan Vincent Tan antara lainnya merupakan seorang ahli perniagaan yang korup, kroni kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.
Vincent Tan mengatakan tuduhan yang dilemparkan itu telah menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Berjaya Land, pihak mereka menggariskan lima tuntutan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu.
Firma guaman itu memaklumkan, Sanusi perlu menarik balik semua kenyataan tidak benar yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land dalam ucapannya tempoh hari.
Selain permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat serta pampasan ganti rugi bernilai RM200 juta, Sanusi juga dituntut untuk memberikan akujanji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan fitnah terhadap anak guamnya mahupun Berjaya Land.
Menurut kenyataan itu lagi, jika ahli politik itu gagal mematuhi tuntutan terbabit pada 8 Ogos, tindakan undang-undang akan diambil.
Sumber: Buletin TV3
Baca: Ini Antara 5 Kontroversi Yang Pernah Berlaku Sejak DS Sanusi Jadi MB Kedah