in

Didakwa Buat Aksi Tidak Sopan & Persenda Masyarakat Hindu, Penyampai Era FM Mohon Maaf

penyampai radio mohon maaf

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin (Pak Azad) dan Radin Amir Affendi tampil membuat permohonan maaf berhubung video kontroversi yang didakwa telah memperlekehkan masyarakat Hindu, baru-baru ini.

Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, mereka memohon maaf berhubung video tersebut dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada kaum India.


“Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, dan kami amat menghormati kepercayaan serta nilai setiap individu. Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” kata hantaran itu.

“Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen dan kritikan untuk memperbaiki diri kami terutama daripada pendengar setia Era. Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan tanpa sedar yang kami lakukan. Maafkan kami.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ERA – Muzik Hit Terkini (@era.je)

Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen radio berkenaan memaparkan salah seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil melaungkan ‘Vel Vel’ disusuli gelak ketawa.

Perkongsian video terbabit telah mengundang kritikan daripada masyarakat Hindu dan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio.

Katanya, pihaknya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat SKMM bagi memberikan penjelasan penuh.

Jelasnya, hal ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Sumber: Instagram, FMT

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.