Pelakon, Hafidz Roshdi mengatakan yang dia tidak tahu mengenai keadaan anak-anaknya yang kini sedang menetap di Australia bersama bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Katanya ketika ditemui selepas prosiding tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini, dia merindui dua anaknya, Humairah, 8, dan Umar, 5, selepas lebih setahun tidak dapat bertemu dengan mereka.
Artikel berkaitan : “Tukar karier ke?” – Hafidz Roshdi ‘Masuk’ Gelanggang Tinju?
Artikel berkaitan : Hafidz Roshdi Kena Naik Mahkamah Lagi, Rupanya Kes Pukul Bekas Isteri Masih Belum Selesai?
“Kalau ikutkan sudah lebih setahun saya tidak bertemu anak-anak. Saya tak tahu keadaan mereka sekarang ini.
“Maklumat terbaru yang saya dapat tahu, mereka dibawa ibunya ke Australia tanpa pengetahuan dan izin saya. Namun, kepada Umar dan Humairah, abah nak beritahu yang abah sangat rindu dan sayangkan kalian berdua.”
“Abah harap kita dapat jumpa satu hari nanti Insya-Allah. Kali terakhir kami berhubung pun melalui panggilan video sebelum mereka berpindah ke Australia.”
Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Hafidz iaitu Ummi Kartini Abd Latiff berkata, pihaknya pernah menulis kepada bekas peguam Shuhada untuk mengadakan perjumpaan anak guamnya untuk bertemu anak namun tiada jawapan diterima.
“Dalam isu perjumpaan untuk bertemu anak-anak, kami sebelum ini sentiasa menulis surat kepada bekas peguam Shuhada sekurang-kurangnya empat surat sudah dihantar.”
“Dalam surat itu kami ada bertanyakan mengenai alamat terkini dan nama sekolah anak-anak supaya anak guam saya dapat mencari jalan untuk bertemu mereka, namun tidak diberikan.”
Namun begitu, pihaknya hanya terima maklumat yang mereka kini menetap di Australia tanpa menyatakan lokasi terperinci anak-anak mereka menetap.
“Bagi saya, walaupun belum ada sebarang perintah mengenai hak penjagaan anak-anak, tetapi sebagai bapa dia juga berhak tahu tempat tinggal kedua-dua anaknya.”
Selain itu, Hafidz juga menegaskan yang dia tidak culas membayar nafkah untuk kedua-dua anaknya itu biarpun sudah lama tidak bertemu.
“Saya tetap bagi (nafkah) daripada tarikh dituntut hingga ke hari ini. Kepada Umar dan Humairah, abah nak beritahu kalian tidak perlu risau mengenai pembayaran nafkah kerana abah akan uruskan kerana itu adalah tanggungjawab abah.”
Sebelum ini, Hafidz menuntut hak penjagaan anak penuh dan interim terhadap dua anaknya selepas lebih setahun tidak berjumpa. Hafidz dan Shuhada berkahwin pada 30 April 2016, namun bercerai pada 27 Julai 2023.
Sumber : Harian Metro