Meskipun anaknya telah direman polis dan kini menjadi suspek utama dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, ibu kepada suspek tetap yakin bahawa anaknya tidak bersalah.
Menurut Sinar Harian, ibu kepada dua anak ini berkata, anaknya yang merupakan anak sulung itu merupakan anak harapan keluarga dan sangat memahami kemiskinan hidup yang dialami mereka sekeluarga.
“Saya akan terus berdoa kakak tidak salah dan naluri ibu tetap menyatakan kakak tidak salah walaupun satu dunia kata dia salah,” katanya.
Ibu suspek yang bekerja sebagai tukang cuci itu berkata lagi, anak perempuannya yang lebih mesra dipanggil kakak ini memang anak yang baik kerana tidak pernah merungut walaupun dia terpaksa tangguhkan bayaran duit yuran sekolahnya kerana tiada duit.
“Kakak juga pernah menolak beberapa tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana kami tidak ada duit tetapi dia tidak pernah tunjuk tanda-tanda protes malah kakak pula pujuk saya, supaya jangan rasa bersalah dengan keputusan dibuatnya.
“Dia juga tidak kisah kalau terpaksa memakai baju sekolah terpakai yang disedekahkan orang ramai dan pakaian harian yang dipakainya hari-hari pula kebanyakan baju dan tudung yang disedekahkan kepada kami. Dia tidak malu walaupun mengenakan pakaian sama sahaja,” katanya ibunya.
Tambahnya lagi, anaknya juga bercita-cita ingin menjadi guru dan dia selalu memberi semangat supaya kakak sentiasa kuat meneruskan kehidupan mereka yang serba kekurangan ini.
“Lepas subuh, kakak dah tunggu kat ruang tamu… dia bagi tahu nak ke balai polis”
Bercerita tentang bagaimana anaknya mengambil keputusan untuk tampil ke balai polis, dia berkata, keputusan itu bukannya kerana dia memujuk untuk ke sana tetapi anaknya sendiri yang mengajak ke balai polis.
“Saya masih ingat lagi lepas solat subuh (Isnin) iaitu kira-kira jam 6.30 pagi, kakak dah tunggu dekat ruang tamu dan lepas nampak saya siap solat, terus dia bagi tahu nak ke balai polis.
“Dia yang ajak saya tapi masa tu saya tak terfikir apa pun dan menurut sahaja ajakannya tetapi beberapa minit selepas berjumpa dengan polis, saya diberitahu yang kakak terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.
Memang agak terkejut selepas dimaklumkan, saya terus bertanyakan kakak sepanjang menemaninya di balai polis sebanyak tiga kali, adakah betul kakak yang buat, tapi dia jawab tak buat dan saya tahu dia tidak menipu,” katanya.
Selain daripada ibunya, jiran ‘kakak’ juga mengakui gadis tersebut seorang anak yang baik dan bukannya anak remaja yang liar.
Malah kakak juga menurutnya lagi, seorang pelajar yang pintar, tidak pernah menyusahkan jiran dan baik dengan semua orang.
“Jadi, saya sebagai jiran yang sangat mengenalinya menganggap tohmahan netizen di laman sosial sangat melampau yang mengaitkan kemiskinan keluarga mereka antara faktor tindakan kakak.
“Jangan terus menghukum keluarga mereka kerana sehingga sekarang kakak masih tidak dibuktikan bersalah lagi,” kata jiran mereka, Mohd Sabri Mohd.
Min pun tak tahu nak cakap apa. Tapi adalah lebih baik kalau kita serahkan hal ini kepada pihak polis dan jangan melebih-lebih dalam menghukum seseorang.
Baca: “Dia tanya kakak mana, saya hanya jawab kakak demam” – Ayah Terpaksa ‘Bohong” Ibu Pasal Siti Surya