Saksi kesembilan memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, Sabah hari ini bahawa pendakwah bebas Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew pernah berbicara dengannya tentang layanan seksual yang pendakwah tersebut inginkan.
Jelas wanita berusia 40-an yang juga merupakan pengadu dalam kes berkenaan berkata, perbualan tersebut berlaku menerusi panggilan video dan aplikasi WhatsApp, ianya tercetus setelah mangsa ini bertanyakan mengani mesej lucah yang Ebit Lew berikan kepadanya.
Artikel berkaitan : “Saya bukan rela” – Saksi Perjelas Dia Didesak Ebit Lew Untuk Tayang Gambar P*y*dara
Artikel berkaitan : Saksi Kes Gangguan Seksual Dedah Ebit Lew Buat ‘Video Call’ Dalam Keadaan Tidak Berbaju
“Lebih banyak panggilan dia saya tidak sambut, banyak panggilan saya skip tetapi panggilan ini saya sambut dan tanya apa masalah sebenar (dia) kenapa minta (seks) daripada orang lain, sedangkan Ebit sudah mempunyai isteri.”
“Dari situ, dia cerita tentang macam mana layanan seks daripada isteri dan bagaimana sebenarnya (layanan seks yang) dia mahukan,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan mangsa dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah tersebut didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, saksi ke-12 yang merupakan jurufoto Polis Diraja Malaysia Koperal Detektif Andria Anak Empeny, 32, pula mengesahkan bahawa beliau ada mengambil lapan keping gambar berkaitan kes itu.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin, saksi itu berkata, gambar terbabit memaparkan keadaan di luar dan di dalam rumah mangsa termasuk ruang tamu, bilik tidur utama dan katil iaitu tempat wanita tersebut bermesej serta langsir.
Nor Azizah dan Analia turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala Ebit Lew diwakili peguam Datuk Ram Singh, Timothy Daut, Prem Elmer Ganasan serta Prabjit Singh Gill.
Sumber : Harian Metro