Semakin lama semakin banyak pula kisah transgender yang diketengahkan sejak akhir-akhir ini. Saban hari ada sahaja cerita tentang mak nyah dimuat naik di portal-portal berita tempatan. Terdahulu, usahawan kosmetik Safiey Ilias pernah menggemparkan negara dengan kisah penghijrahannya.
Namun, malangnya berita Safiey kembali menjadi ‘wanita’ tersebar luas pada hujung tahun lalu malah dia juga dikatakan telah sesuka hati mempersendakan agama. Safiey sering dilihat bersama seorang lelaki yang berkemungkinan merupakan teman lelakinya.
Terbaru, muncul pula kisah penghijrahan transgender bernama Yana yang mahu kembali ke fitrah asal dilaporkan oleh Mingguan Wanita. Yana yang kini sudah berhijrah mahu melupakan gelaran wanita yang pernah digunakan suatu masa dahulu dan mahu disapa dengan nama Harry.
Harry Zulkifli yang kini berusia 26 tahun menceritakan bahawa dia mengambil masa dua tahun lamanya untuk berubah menjadi individu yang kita lihat hari ini.
“Dua tahun saya ambil masa untuk berubah, ini berkat doa keluarga terutama mak dan dorongan kawan-kawan,” kata Harry.
“Saya pasak tekad, moga Allah SWT kuatkan saya untuk terus menjadi seperti ini dan tidak kembali kepada perbuatan saya yang lama,” katanya lagi.
Menceritakan lagi kisah silamnya, Harry mengakui bahawa dia memiliki naluri kewanitaan semenjak berusia empat tahun lagi. Naluri perempuannya itu dikatakan semakin menjadi-jadi selepas hidup bebas di Kuala Lumpur.
“Keluarga saya memang perasan mengenai saya, dulu saya selalu curi-curi pakai celak dan bersolek dan makin melarat tatkala usia menginjak remaja dan mula tersasar jauh setelah hidup bersendirian di Kuala Lumpur ketika itu.”
Terdetik untuk berubah setelah melihat akhlak baik yang ditunjukkan oleh seorang sahabat, Harry mula mengikut sahabatnya itu bertemu dengan orang-orang yang warak dan alim.
“Daripada itu saya mula dekat dengan agama dan mula tersedar bahawa Allah SWT menciptakan saya sebagai lelaki. Memang tahun pertama itu susah untuk istiqomah, namun Alhamdulillah saya semakin baik dan makin berubah.”
Menyingkap kisah silam lelaki ini, rupa-rupanya ada yang mempertikai penghijrahan Harry semata-mata hanya kerana dia berkawan dengan Safiey Ilias. Ada juga yang menuduh bahawa Harry sengaja menjaja kisah penghijrahannya untuk melariskan sebarang produk yang mungkin dijual oleh lelaki tersebut seperti Safiey Ilias.
Tidak ketinggalan, muncul juga individu yang menuduh kelakuan Harry sebagai salah satu strategi pemasaran. Pun begitu, beberapa orang individu membidas komen negatif tersebut dan mengatakan bahawa Harry bukanlah seorang peniaga. Mereka turut mendoakan penghijrahan Harry berkekalan hingga ke akhir hayat.
Tak baik tau tuduh yang bukan-bukan. Semoga Harry terus istiqomah dengan penghijrahannya.
Baca: “Syarahan agama pondan!” – Netizen Meluat Dengar ‘Tazkirah’ Safiey Illias Suka Hati Persenda Agama