Seperti yang kita semua tahu, minggu lepas nama Ustaz Ebit Lew menjadi sebutan ramai selepas telah menderma 100 tablet buat kegunaan pelajar sekolah bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ebit menerusi perkongsian di Facebook berkata, dek kerana pemberian tablet tersebut, dia telah menerima lebih 40,000 mesej yang memohon bantuan tersebut. Namun sayangnya, dia tidak dapat membantu kesemua yang memerlukan.
Salah seorang penerima tablet daripada Ebit memberitahu, dia telah dihubungi oleh pasukan ustaz tersebut selepas 45 minit meninggalkan komen di posting Facebook Ebit, lapor Bernama. Wow pantasss!
“Sekitar 6 petang saya menulis di ruangan komen…”
Wanita terbabit yang merupakan seorang ibu tunggal kepada empat orang anak, Haslinah Hassan, 40, memberitahu komputer terpakai yang dibelinya secara online tahun lepas untuk tiga anak yang menghidap autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) telah rosak.
Anak sulungnya yang berusia 13 tahun, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) amat kecewa dan hampir hilang semangat untuk belajar selepas komputer yang dibeli Oktober lepas rosak.
“Tiga anak saya yang bersekolah begitu meminati bidang teknologi dan Internet. Selepas desktop rosak mereka hanya belajar menggunakan telefon bimbit saya dan saya akan ambil kerja sekolah masing-masing dari sekolah mereka.
Pada Khamis saya lihat hantaran di akaun Facebook Ebit Lew bahawa dia membeli 100 buah tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang memerlukan untuk kelas dalam talian.
“Sekitar 6 petang Khamis saya menulis di ruangan komen hantaran Lew. Saya katakan tentang keadaan anak saya dan tiga daripada mereka bersekolah. Saya juga memohon agar boleh dapat satu tablet,” katanya.
Namun tidak dia sangka, lepas 45 minit menulis komen di ruangan FB Ebit Lew, dia kemudian dihubungi pasukan pendakwah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dirinya dan pada kira-kira jam 9.30 malam pada hari yang sama, pasukan tersebut telah menghantar tablet ke rumahnya. Allahu… laju sungguh mereka menjalankan tugas!
Lepas terima tablet, ada pihak sumbang komputer riba
Rezekinya bertambah murah apabila ada seorang hamba Allah turut sumbangkan sebuah komputer riba pula. Menurut Haslinah, tablet dan komputer riba tersebut yang disumbangkan kepadanya umpama ‘talian hayat’ kepada tiga anaknya yang kini begitu bersemangat untuk mengikuti PdPR.
“Saya terharu dengan sumbangan Ustaz Ebit Lew dan akan pastikan peranti ini digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Haslinah menjadi ibu tunggal semenjak 2019 lagi dan dia juga merupakan orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dan turut menghidap ADHD.
Keadaan empat orang anaknya menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan pendapatan beliau kini hanya bergantung kepada elaun JKM sebanyak RM400, Baitulmal dan sumbangan orang ramai.
Semoga anaknya akan terus bersemangat untuk belajar. Terima kasih Ustaz Ebit.
Baca: “Allah ramainya!” – Ustaz Ebit Lew Nak Beri 100 Tablet Percuma, Tapi Terima Lebih 40,000 Mesej Mohon Bantuan