Antara benda yang paling ditakuti oleh ibu bapa adalah penculikan. Sebab tu kalau boleh kebanyakan ibu bapa tak benarkan anak-anak lepas dari pandangan mereka lebih-lebih lagi di luar rumah.
Namun begitu, ibu bapa tetap tidak boleh memantau gerak geri anak-anak setiap masa, terutamanya bila mereka perlu pergi ke sekolah.
Macam baru-baru ini, satu mesej telah tular di media sosial mendakwa seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dikatakan hampir diculik berhampiran kolam udang di belakang sekolah di Kulim.
Namun begitu, murid tahun empat ini dikatakan berjaya melepaskan diri selepas bergelut dengan penculik tersebut dan laporan polis telah pun dibuat berhubung insiden ini.
Bagaimanapun, memetik laporan dari Berita Harian, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengatakan, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak ini sengaja mereka cerita tersebut dalam laporannya yang dibuat pada 17 September lalu.
Kanak-kanak itu mendakwa, dia bersama abangnya kemudian pergi menunjukkan lokasi sekolah berkenaan kepada lelaki terbabit. Dia juga mendakwa ketika dalam perjalanan, lelaki itu berhenti membuang air kecil di kawasan hutan berhampiran.
“Dia seterusnya mendakwa terdengar lelaki berkenaan memberitahu seorang rakan yang dihubungi melalui telefon bimbit mengenai rancangan untuk menculiknya.”
Ekoran ini, kanak-kanak tersebut mengatakan dia terpaksa berlari ke jalan besar dan meminta pertolongan seorang lelaki yang tidak dikenali untuk menghantarnya pulang.
Namun, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak ini telah membuat laporan polis palsu kerana bimbang dimarahi keluarga selepas lewat pulang ke rumah.
Kita sudah memanggil ibu bapa murid itu untuk memberi penerangan berhubung kes terbabit. Kes itu diklasifikasikan sebagai tiada berlaku sebarang kesalahan (NOD).”
Malah, mesej yang tular di Facebook itu juga telah pun dipadamkan oleh individu tersebut dan Wan Hassan menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah mempercayai dan menyebarkan berita yang tidak sahih.
Alahai…