Caving merupakan sebuah aktiviti meneroka gua yang mempunyai peminatnya tersendiri, kebanyakan mereka sukakan aktiviti tersebut kerana ia menguji adrenalin serta memberikan pengalaman yang berbeza.
Pun begitu, seindah-indah ekosistem gua, terpaksa kita akui ia merupakan aktiviti yang berbahaya terutama sekali jika cuaca tidak berada dalam keadaan yang baik.
Semalam, seramai 30 orang kru produksi bagi filem antarabangsa telah terperangkap di dalam Gua Tempurung di Perak selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut dan menyebabkan mereka tidak boleh keluar dari situ.
Dalam laporan Astro AWANI, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah kru yang terlibat dalam aktiviti penggambaran di kawasan itu adalah seramai 80 orang dan yang terperangkap adalah seramai 30 orang terdiri daripada warga tempatan dan warga Singapura.
Selepas 2 jam, kesemua kru yang terkandas di situ berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota polis dan bomba.
Muhd Aidilfitri yang merupakan salah seorang mangsa insiden itu berkongsi pengalamannya, dia menceritakan paras air naik mendadak ketika hujan lebat, mereka yang terperangkap terus panik dan segera menyelamatkan peralatan penggambaran mereka.
“Kami mula masuk ke dalam Gua Tempurung pada 8 pagi tadi untuk menjalani penggambaran. Kira-kira pukul 4 petang, air tiba-tiba masuk ke dalam gua dan naik secara mendadak.
Kami terperangkap dua jam di dalam gua sebelum dapat menyelamatkan diri dengan keluar dari gua tersebut.
Saya hubungi kru yang berada di luar gua memaklumkan mengenai kejadian itu supaya mereka menelefon pihak bomba.” katanya.
Seorang lagi mangsa, Muhd Fitri Shah berkongsi mereka tidak boleh menghubungi sesiapa kerana talian komunikasi terhad dan mereka menggunakan ‘walkie talkie’ sahaja untuk menghubungi kru yang lain.
Nasib baik semuanya selamat…
Baca: “Mereka dibawa kepala air” – 4 Termasuk Seorang Pelajar Pondok Warga Malaysia Lemas Di Aceh