Semalam kecoh apabila satu laporan polis dibuat berhubung sepasang ibu bapa warga China yang bertindak ‘melarikan’ anak lelaki mereka selepas dikesan mengalami simpton coronavirus. Perkara itu menjadi tular di media sosial.
Bagaimanapun dalam laporan terkini hari ini, pihak berkuasa telah berjaya menahan semula tiga beranak itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata — mereka sudah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi tindakan lanjut.
Semalam Harian Metro melaporkan, pasangan berkenaan tidak mahu anak mereka dikuarantin kerana dikatakan mahu menaiki penerbangan pulang ke China pagi semalam.
Sumber berkata, seorang doktor berusia 26 tahun menerima kanak-kanak berkenaan sebagai pesakit di sebuah hospital awam di Johor Bahru pada 10.18 malam kelmarin.
Menurut doktor terbabit, pesakit datang ke hospital awam berkenaan atas rujukan sebuah hospital swasta dan menurut surat rujukan itu — pesakit mengalami demam, batuk dan demam kejung namun tidak diakui kedua ibu bapanya.

