Acap kali berlaku insiden gangguan seksual dalam pengangkutan awam yang membuatkan para wanita berasa kurang selamat.
Baru-baru ini, seorang pengguna di laman X mendakwa teman wanitanya menjadi mangsa gangguan seksual apabila seorang lelaki yang sudah berkahwin curi-curi mengambil gambar dalam MRT.
Menurut @farisabshar, kejadian berlaku ketika dia dan teman wanitanya sedang dalam perjalanan dari Bukit Bintang ke Bandar Utama.
Dia mengesyaki seorang lelaki cuba mengambil gambar teman wanitanya. Apabila keluar dari stesen Bandar Utama, dia bersemuka dengan lelaki terbabit dan membawanya berjumpa dengan kakitangan MRT.
https://twitter.com/farisabshar/status/1758047759423418849
Terkejut check telefon
Sangkaannya betul apabila mendapati gambar teman wanitanya ada dalam telefon bimbit lelaki terbabit.
Ketika memeriksa galeri telefon lelaki itu, dia terkejut apabila mendapati terdapat beberapa gambar wanita lain.
“Bila disoal siasat anggota polis, dia mendakwa baru sahaja dibuang kerja dan berada dalam keadaan ‘kusut’. Kami kemudian pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” katanya.
Katanya, polis memberitahu tidak cukup bukti untuk mendakwa motif lelaki terbabit. Justeru, dia dan teman wanita mengambil telefon lelaki terbabit untuk memadam gambar itu.
“Saya periksa semua tempat dalam telefon dia. Saya muak melihat seorang lelaki berusia 49 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai anak memiliki gambar lucah dalam Telegram.
“Lelaki itu cuba meminta maaf dengan berkata, ‘Saya minta maaf tapi saya faham kalau saya tak dimaafkan…”
“Setelah puas memeriksa telefonnya, kami beredar dan pihak polis buat siasatan lanjut,” katanya lagi.
Ujarnya, insiden itu menyebabkan teman wanitanya mengalami trauma dan menyatakan gangguan seksual juga boleh berlaku ketika menggunakan pengangkutan awam.
Dalam pada itu, dia menasihatkan orang ramai untuk mengambil tindakan segera jika berasa tidak selamat.
Sumber: X