Dah nama pun api, macam mana kecil pun tetap boleh mengundang bahaya.
Lelaki berusia 35 tahun dari Kangar, Perlis ni mesti tak sangka aktiviti harian yang dia lakukan ini bukan je boleh bahayakan nyawa dia, malah harta bendanya.
Menurut Kosmo! Online, Khairul Arnizar Embi hampir hangus terbakar bila dia tertidur semasa rokoknya yang masih terbakar masih ditangannya.
Khairul berkata, dia telah pulang ke rumahnya pada pukul 1.50pm di Pangsapuri Sri Sena dan berehat di ruang tamunya sambil merokok. Tanpa disedari, dia terlelap dan menyebabkan rokok yang sedang dihisapnya itu terjatuh dari tangannya.
Tak berapa lama kemudian, Khairul tersedar dari tidurnya bila dia terbau asap dan melihat ruang tamu rumahnya terbakar. Lelaki ini terus berlari keluar untuk menyelamatkan dirinya.
Pasukan Bomba & Penyelamat Perlis telah bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas mereka mendapat laporan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 1.58pm dan berjaya memadamkan api yang dah memusnahkan rumah tersebut hampir 70 peratus.
Khairul memberitahu wartawan yang dia menyesal dengan apa yang berlaku. Disebabkan kecuaiannya ini, dia tak cukup masa untuk selamatkan apa-apa barang dari rumahnya.
Bagaimana pun, lelaki malang ini bersyukur kerana api tersebut tak sempat menyambar ke rumah jiran-jirannya yang lain.
Khairul kini terpaksa tinggal di rumah ibunya yang juga tinggal di blok yang sama dan masih mengira kerugian yang ditanggung akibat perbuatannya ini.
Hmm, malang tak berbau, dalam masa kurang dari 10 minit, rumah dia hampir musnah. Tapi, nasib baiklah dia sempat selamatkan diri dia kan?
Baca: “Sy merayu pada perokok, hormatilah org sekeliling” – Bayi 2 Bulan Muntah Darah Gara-gara Asap Rokok