Seorang remaja berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang diboncengnya dilanggar oleh sebuah kereta peronda (MPV) polis, lapor Harian Metro. Kemalangan yang berlaku di Kampung Telaga Bata, Tumpat pada jam 12.05 tengah malam itu telah menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, ketika kejadian, anggotanya sedang bertugas membuat rondaan dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor.
“Apabila tiba di lokasi, sebuah motosikal Honda Wave yang ditunggang dua lelaki keluar dari lorong sebelah kanan iaitu dari Kampung Telaga Bata dan masuk ke laluan MPV untuk ke Kampung Nechang.”
“Pemandu MPV menekan brek namun tiba-tiba penunggang berpatah balik ke sebelah kanan jalan menyebabkan MPV mengelak ke kiri namun tetap terlanggar motosikal berkenaan.”
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat. Penunggang motosikal yang berusia 17 tahun dilaporkan cedera di kepala serta luka di beberapa anggota badan lain. Pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah agama di Tumpat itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.