Selepas tiga jam menunggu untuk mendapatkan katil, seorang ibu muda meninggal dunia di dalam kereta di parking lot sebuah hospital akibat dijangkiti COVID-19.
Lapor Metro, Jagriti Gupta, 35, menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kereta sebuah hospital di bandar Noida, India. Ketika kejadian, Gupta dibawa seorang rakannya ke institut perubatan itu bagi mendapatkan rawatan.
Menurut seorang saksi, dia melihat bagaimana rakan Gupta berlari sambil meminta pertolongan namun tiada sesiapa yang membantunya.
“Dia (Gupta) tidak sedarkan diri kira-kira jam 3.30 petang. Ketika itu, rakannya telah pergi ke bahagian pendaftaran untuk melaporkan Gupta sudah tidak bernafas. Kakitangan hospital kemudiannya mengesahkan Gupta sudah meninggal dunia,” katanya.
Difahamkan, Gupta yang juga merupakan seorang jurutera adalah antara ribuan penduduk lain di negara itu yang memerlukan rawatan segera kerana sudah dijangkiti wabak maut itu.
Memetik MalayMail, negara India telah merekodkan 401,993 kes jangkitan terbaharu COVID-19 dalam masa 24 jam, semalam.
Jumlah kematian akibat wabak itu juga meningkat semalam dengan 3,523, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut di negara itu 211,853.
Gelombang kedua COVID-19 yang melanda negara itu mengakibatkan banyak hospital, bilik mayat dan tempat pembakaran mayat mencecah kapasiti maksimum. Ramai penduduk di negara itu yang terdesak akibat kekurangan tangki oksigen.
Baca: Tertinggi di Dunia! India Catat Kes Harian COVID-19 Lebih 314,000