Cinta tak semestinya memiliki…
Setiap orang ada cerita cinta tersendiri. Ada yang berakhir dengan kebahagiaan dan ada juga yang terkandas di tengah jalan. Bagi lelaki tua dari Indonesia ini, kisah cintanya telah diabadikan oleh penduduk di sana sebagai salah satu cerita cinta teragung.
Setiap hari duduk di tempat yang sama
Bagi penduduk di kawasan Kayu Tangan, Kota Malang, susuk tubuh seorang pria duduk di sudut sama setiap hari sudah menjadi pemandangan biasa.
Semua orang di sana tahu, lelaki tua itu sedang menanti kehadiran sang kekasih sejak tahun 1970 lagi. Satu hari pun tak pernah tinggal kerana takut kekasih yang dinantinya itu tiba-tiba munculkan diri.
Menurut cerita orang di sana, lelaki bernama Pak Arifin ini terpaksa berpisah dengan kekasihnya semasa kemelut politik melanda Kota Malang. Namun sebelum berpisah, pasangan ini berjanji selepas keadaan kembali tenang, mereka akan berjumpa semula di tempat yang sama.
Berpegang kepada janji yang dibuat, Pak Arifin telah menunggu kekasihnya di tempat yang dijanjikan setiap hari. Namun hari demi hari, kekasih yang ditunggu tak juga muncul tiba.
Namun, sejak dari hari pertama lelaki ini berpisah dengan kekasihnya, harapan untuk bertemu semula tak pernah padam. Setiap hari dia gagahkan kakinya untuk berjalan dari rumahnya menuju ke tempat yang dijanjikan. Dia percaya, satu hari nanti pasti kekasih hatinya itu akan munculkan diri.
Penantian berakhir…
Namun, penantian panjang Pak Arifin akhirnya bertemu penamatnya. Tahun 2018 yang lalu, lelaki ini ditemui tak sedarkan diri di lorong pejalan kaki dengan mata lebam sebelum di bawa ke hospital.
Kerana keadaan dirinya yang parah, nyawa lelaki tua ini tak dapat diselamatkan. Dia dikatakan telah menjadi mangsa langgar lari oleh orang yang tak bertanggungjawab.
Walaupun susuk tubuh lelaki ini tak lagi dapat dilihat di sana, cerita tentang kesetiaan Pak Arifin selalu dikenang oleh orang yang pernah bertemu dengannya mahu pun yang tersentuh mendengar kisahnya.
Kisah Pak Arifin ini telah memberikan inspirasi kepada ramai orang bahawa cinta sejati itu ada.
Malah, bagi mengenang cerita cinta agung lelaki ini, beberapa orang di sana kini sedang turut membuat mural di tempat yang sama lelaki ini duduk selama hampir 50 tahun.
Manakala keberadaan kekasihnya tak diketahui hingga sekarang, entah hidup atau pun dah meninggal dunia.
Sumber: Twitter