Kita mungkin fikir, kebanyakan haiwan di dunia ni tak setia dengan pasangan masing-masing. Tengok je bulus korang, dah berapa banyak kucing betina lain jadi mangsa kan?
Yelah, dah namanya pun binatang dan tak berakal — tapi jangan terkejut, kerana sebenarnya wujud beberapa jenis haiwan yang dikategorikan sebagai haiwan yang paling setia dengan pasangan mereka.
Kali ni kita nak bercerita secara spesifik mengenai seekor burung Autralasian Gannet, yang bernama Nigel — dan kisah ini dikongsikan seorang pengguna Twitter Shahmil Hafiz.
Dalam gambar di atas, Nigel adalah burung yang duduk di tengah-tengah dua replika burung yang sedang memandang langit tu.
Kenapa ada replika? Nanti kita cerita.
Kisah Nigel memang menyedihkan, dia merupakan penghuni Pulau Mana yang terletak berhampiran New Zealand — dan hidupnya penuh dengan kesepian.
Untuk bertahun lamanya, Nigel menetap di pulau tersebut tanpa pasangan mahupun kawanan sejenis dengannya.
Jadi, tidak lama kemudian para saintis memutuskan untuk kembali menjadikan pulau tersebut sebagai lokasi kediaman Australasian Gannet. Dan antara alternatif yang dilakukan, termasuklah meletakkan banyak replika burung yang diperbuat daripada konkrit.
Ia dibuat bagi mengumpan kedatangan Australasian Gannet ke pulau tersebut.
Dan selain replika burung, saintis turut memasang pembesar suara yang dijana oleh sistem solar untuk memainkan bunyian burung bagi menarik perhatian Australasian Gannet.
Projek ini dikatakan dimulakan pada penghujung 1990an, namun ia hanya mendatangkan hasil beberapa tahun selepas itu apabila seekor burung ‘termakan umpan’ tersebut — dan burung tersebut, adalah Nigel.
Dia menjadi burung pertama yang kembali ke Pulau Mana dalam tempoh 40 tahun, dan menjadikan tempat tersebut sebagai kediamannya semula.
Selain itu, saintis turut memerhatikan Nigel membuat sarang daripada rumpai laut dan reranting untuk memikat pasangannya itu.
Namun, Nigel tak pernah sedar bahawa cintanya hanya bertepuk sebelah ‘sayap’,
Tak lama kemudian, ada seekor burung Australian Gannet muncul — tapi sayangnya, ia burung jantan dan kumpulan saintis menamakannya sebagai Norman.
Memikirkan mungkin akan ada kawanan burung lain yang akan menjejakkan kaki ke pulau itu selepas Norman, saintis kemudian mula melakukan kerja-kerja mengecat semula replika-replika burung di pulau tersebut.
Tapi, walaupun ada burung lain singgah ke tempatnya — Nigel kekal setia dengan kekasih batunya itu.
Dan betapa setianya Nigel ni, walaupun cinta dia tak pernah berbalas — sehinggalah satu hari, dia ditemui mati di sisi ‘pasangannya’.
Begitulah kisah burung yang kesunyian bernama Nigel, tatkala kawanan jenisnya berhijrah berkumpulan ke lokasi lain — dia memilih untuk menetap sendirian di Pulau Mana, sehingga penghujung hayatnya.
Baca: ‘Room 8’: Kisah Kucing Legend Yang Tak Pernah ‘Ponteng Kelas’ Di Echo Park, California