in

China Kenakan Tarif Balas 125 Peratus Terhadap Barangan AS, Pasaran Global Semakin Goyah

Tarif Balas

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ketegangan dagang antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia semakin memuncak apabila China bertindak balas terhadap dasar perlindungan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan mengenakan tarif balas setinggi 125 peratus ke atas barangan AS.

Langkah drastik itu diumumkan selepas Presiden AS, Donald Trump melaksanakan tarif baharu terhadap import dari China dan mengumumkan cukai menyeluruh terhadap barangan dari puluhan negara lain.


Bagaimanapun, pelaksanaan tarif tersebut ditangguhkan selama 90 hari bermula Rabu lalu, sementara tarif ke atas barangan China pula diteruskan.

Tindakan balas China mencetuskan kegusaran dalam kalangan pelabur global menyebabkan penjualan besar-besaran bon kerajaan AS, penyusutan nilai dolar dan ketidaktentuan dalam pasaran saham.

Meskipun situasi pasaran tidak stabil, Trump menegaskan bahawa dasar tarif beliau berada di landasan yang tepat.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beliau menyatakan:

“Kita sedang melakukan dengan sangat baik dalam dasar tarif kita. Sangat mengujakan buat AS dan dunia! Ia bergerak dengan pantas.”

Rumah Putih dalam kenyataan susulan menjelaskan bahawa Presiden Trump kekal yakin terhadap peluang rundingan perdagangan dengan China, sambil mendedahkan bahawa 15 negara lain turut menunjukkan minat untuk mengemukakan tawaran rasmi sepanjang tempoh penangguhan 90 hari itu.

Artikel berkaitan: Tarif Baharu Amerika Syarikat, Harga iPhone Dijangka Cecah RM10,000 Seunit

Artikel berkaitan: Malaysia Akan Hantar Pegawai Ke Washington Untuk Bincang Soal Tarif Trump – PMX

Tarif Balas
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memegang carta bertajuk “tarif timbal balas” ketika berucap dalam majlis pengumuman perdagangan bertemakan “Make America Wealthy Again”.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt turut memberi amaran bahawa Trump tidak akan berdiam diri jika AS diserang secara ekonomi malah akan membalas dengan lebih tegas.

Dalam pada itu, Presiden China, Xi Jinping menegaskan bahawa negaranya tidak gentar dengan tekanan tersebut.

Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, Xi turut menyeru Kesatuan Eropah (EU) agar bersatu menentang sebarang bentuk “buli sebelah pihak”.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.