Sokongan dan dorongan ibu bapa adalah motivasi tertinggi anak-anak ketika musim peperiksaan. Namun begitu, malang tidak berbau apabila ibu kepada seorang pelajar lelaki di Sekolah Agama Menengah Nurul Iman (SAMNI), Kampung Bukit Cerakah, Meru, Klang terkena serangan jantung dan meninggal dunia sewaktu anaknya sedang menduduki peperiksaan SPM.
Muhammad Noh Zakaria, 17, menerima berita pemergian ibunya, Maziah Alias, 50, daripada pengetua sekolah sejurus selepas dia menduduki peperiksaan Bahasa Melayu pada jam 4:30 petang.
Maziah yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Kota Damansara disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengahari selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika berehat di bilik rawatan sekolahnya kerana terlalu letih dan tidak bermaya, lapor Harian Metro.
“Patutlah saya tidak sedap hati selepas solat Zohor tadi selain berasa degupan jantung tiba-tiba kencang, namun hanya menganggapnya perasaan gementar sebelum menjawab peperiksaan,” kata Noh.
“Kenapa ibu pergi sekarang? Saya belum habis jawab lagi SPM ni.”
Allahyarham Maziah meninggalkan suami, Zakaria Kasiran, 56, bersama lima orang anak yang lain. Zakaria bercerita tentang perilaku arwah isterinya yang agak lain pada pagi sebelum dia keluar bekerja;
“Selalunya dia akan ucap bye-bye ketika bersalam, namun pagi tadi arwah ada meminta maaf kepada saya sebelum pergi mengajar ke sekolah.”
Rakan arwah yang bekerja di sekolah yang sama menceritakan bahawa dia berniat untuk mengejutkan arwah pada jam 10:30 pagi tetapi tidak berbuat demikian untuk memberi ruang arwah berehat.
“Ada tetamu hadir untuk menemui Ustazah Maziah dan kami terkejut melihat dia sudah tidak sedarkan diri dan mempunyai kesan muntah di pipinya.”
Walaupun sukar, Muhammad Noh memberitahu bahawa dia akan sentiasa mengingati pesan ibunya supaya menjadi insan yang berjaya. Lebih 300 orang ahli keluarga, saudara mara, dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah dan jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru.
Semoga Muhammad Noh tabah menghadapi dugaan dan teruskan berjuang menduduki peperiksaan SPM sekaligus membanggakan kedua ibu bapanya. Takziah untuk mereka sekeluarga.
Baca: Pelajar Tiba-tiba Buta 2 Minggu Sebelum SPM, Tak Patah Semangat Untuk Teruskan Peperiksaan