Seorang lelaki di Thailand terkejut selepas seekor cacing pita sepanjang 2 meter keluar daripada duburnya. Pengalaman pahit ini dikongsi Amarit Chuetamuen dalam satu video di akaun TikTok @tex2499.
Menerusi video tersebut, Amarit mendakwa dia berasa gatal-gatal pada duburnya, sebelum merasakan ada sesuatu tergelincir keluar daripada saluran itu.
Amarit mendapati seekor cacing parasit yang masih hidup bergerak-gerak keluar daripada lubang duburnya. Pemuda ini mendakwa perkara itu berlaku kerana dia sering makan daging mentah sebagai santapan harian dalam tempoh bertahun-tahun.
Dia turut sempat memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelak daripada makan daging mentah atau mereka akan terkena seperti apa yang terjadi kepada dirinya. Nasihat ini diberi Amarit dalam satu video lain yang turut dimuat naik di TikTok.
“Hai semua! Hari ini, saya ingin memberi peringatan kepada semua orang yang menggemari daging mentah seperti saya. Lihat ini! Panjangnya hampir 2 meter.
“Saya makan daging lembu mentah selama dua hingga tiga tahun dan inilah yang berlaku kepada saya. Tidak percaya. Ini adalah cacing pita. Sangat panjang!
“Saya merinding sekarang. Saya mengambil ubat anthelmintik malam tadi dan ini keluar pada waktu pagi,” ujar Amarit dalam video tersebut.
Sambung pemuda itu, dia berasa kesakitan dan tidak selesa dengan apa yang berlaku. Sebagai langkah pencegahan, Amarit telah mengambil ubat dan cacing tersebut telah berjaya dikeluarkan pada waktu pagi tanpa apa-apa kecederaan teruk pada dirinya.
Untuk rekod, daging lembu mentah yang dihidang bersama sos pencicah pedas merupakan salah satu hidangan popular dalam kalangan penduduk tempatan di Thailand.
Kredit: Kosmo
BACA: Cha Ruoi – Telur Dadar Inti Cacing Laut, Sajian Bermusim Istimewa Di Vietnam