Satu perkara yang menarik perhatian min mengenai kes buli asrama adalah berdasarkan kepada statistik berikut. Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan jumlah kes buli meningkat mendadak dari tahun 2021 hingga 2023.
Mungkin disebabkan faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, sekolah di seluruh negara ditutup. Maka, kes buli tidak berlaku. Fakta ini jelas memberi gambaran kepada kita bahawa buli hanya berlaku sekiranya pelajar berada di sekolah.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada ia berlaku di sekolah harian mahupun sekolah berasrama. Perlu diingatkan juga, data itu hanya merekodkan kes yang pernah dilaporkan. Bagaimana pula dengan yang tidak pernah dilaporkan?
Artikel berkaitan : Bukan Sekadar Gurauan, Kenali 6 Jenis Buli Yang Kita Sering Terlepas Pandang
Artikel berkaitan : Dari budak baik jadi jahat, Ibu Kecewa Anak Berubah Terjebak Gejala Tidak Sihat Sebab Dibuli
Buli Asrama Libatkan Pelajar Junior
Kes buli adalah satu trend ‘evergreen’ yang seringkali berlaku di seluruh dunia. Seolah-olah tiada jalan keluar dan tiada penyelesaian. Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria, perbuatan buli berkait rapat dengan masalah psikologi dan kesihatan mental.
Dalam konteks lebih luas, beliau menyatakan bahawa 50% masalah kesihatan mental bermula sebelum usia 14 tahun, akibat persekitaran seperti cara ibu bapa membesarkan anak, pengalaman traumatik, dan tekanan sekolah (termasuk buli).
Ini selaras dengan statistik yang dicatatkan oleh Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang melaporkan ramai pelajar Tingkatan 1 terlibat dengan kegiatan buli.
Zara Qairina Mahathir merupakan pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah. Baru sahaja beberapa bulan belajar di sekolah terbabit, namun dia dipercayai menjadi mangsa buli senior yang digelar sebagai ‘kakak’. Pelajar senior yang sepatutnya memberi tunjuk ajar sebaliknya bertindak sedemikian rupa. Begitu juga dengan pelbagai kes yang dilaporkan, rata-ratanya melibatkan isu dan ketidakfahaman antara junior dan senior.
Manakala kes Zulfarhan Osman, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), juga dipercayai berpunca daripada buli apabila nyawanya direntap oleh pelajar senior melalui pelbagai tuduhan yang dicipta.
Di sekolah, buli jarang berlaku secara one-to-one. Pasti ada rakan yang menyokong kerana itu mereka seolah-olah berasa kuat untuk menindas orang lain.
Buli Dewasa VS Buli Remaja
Secara peribadi, perbuatan buli ini sama sahaja seperti budaya toksik di tempat kerja. Cuma mungkin apabila ia terjadi kepada kanak-kanak, mereka tidak dapat mempertahankan diri disebabkan faktor pengalaman dan perkembangan mental.
Contohnya, jika dibandingkan keadaan mental kanak-kanak berusia 13 tahun dengan seorang dewasa berusia 20 tahun, pastinya mereka tidak mampu memproses langkah seterusnya sekiranya ditindas. Oleh itu, banyak kes kanak-kanak dan remaja yang dibuli tidak dilaporkan kepada ahli keluarga, hatta guru sekalipun, meskipun mereka sudah menjadi mangsa buli.
Mereka mungkin diugut atau diancam. Tambahan pula, sekiranya mereka berada di asrama, mereka hanya bergantung kepada rakan sebaya dan guru. Akses kepada keluarga agak terbatas, dan kerana itu tidak mustahil ada pelajar yang dibelasah teruk tanpa pengetahuan keluarga.

Maka, hari ini berbondong-bondonglah ibu bapa membuat keputusan untuk tidak menghantar anak-anak ke asrama. Kata mereka, ia kerana mereka risau tidak nampak luka pada tubuh badan anak-anak yang sepatutnya menjadi ‘red flag’ untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Namun, jika semua ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), hilanglah fungsi institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melahirkan golongan pemimpin, peneraju dan bijak pandai.
Min sangat menyokong tindakan tuntas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan perlakuan buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Tiada Kompromi Dalam Kes Buli
Beliau dengan tegas dalam menggantung serta mencadangkan pembuangan 6 pelajar di MRSM meskipun berdepan dengan tindakan saman oleh ibu bapa pelajar terbabit. Beliau juga berpesan agar tindakan tegas dikenakan terhadap pihak pentadbir sekolah sekiranya terdapat cubaan menutup kes buli.
Cadangan untuk menetapkan pengambilan warden di sekolah berasrama daripada kalangan individu berlatar belakang tentera atau polis juga dilihat sebagai cadangan yang bernas memandangkan sifat ketegasan yang dimiliki oleh mereka.
Min tidak mahu mengulas panjang mengenai kesan perbuatan buli ini. Semua sudah jelas dan faham bahawa ia melibatkan emosi serta masa depan pelajar dan keluarga. Apa yang diperlukan ketika ini ialah kebenaran yang berpihak kepada mangsa-mangsa.
Setakat artikel ini ditulis, 5 pelajar terbabit dalam kes Zara Qairina kini telah melalui proses pendakwaan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu. Mereka dibenarkan untuk diikat jamin dan akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun.
Ahli keluarga berhajat untuk terus berjuang agar dikenakan hukuman lebih berat, namun ia tertakluk kepada keputusan hasil bedah siasat serta bukti-bukti sokongan lain yang akan dikemukakan kelak.
Satu Malaysia kini giat berkempen agar kes ini tidak dipandang sepi, sama seperti kes-kes terdahulu seperti kes Wan Ahmad Faris, pelajar di Maahad Tahfiz Kok Lanas, Kelantan.
Itu baru menyentuh tentang buli secara ‘direct’ di sekolah, belum lagi tentang buli siber, body shaming dan sebagainya. Pastinya lebih panjang dan tidak berkesudahan.
Semoga keadilan terus berpihak kepada mangsa buli, dan sentiasalah kita katakan TIDAK kepada buli!
Sumber : Astro Awani