Kebelakangan ini, kita semua sudah sedia maklum dengan isu kematian Allahyarham Zara Qairina yang dikaitkan dengan kes buli di sekolah betul-betul membuatkan ramai rakyat Malaysia terkesan. Kes ini bukan sekadar berita semata, tapi ibarat satu ‘tamparan’ hebat untuk kita semua supaya lebih memandang serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah.
Harapnya, kejadian ini boleh menjadi satu peringatan kepada kita semua. Sebab hakikatnya, kita sendiri pun mungkin tidak sedar sama ada pernah menjadi mangsa buli, atau kita sendiri yang membuli orang lain.
Kalau bercakap tentang buli, ramai ingat ia hanya melibatkan pergerakan secara fizikal. Tapi sebenarnya, terdapat 6 jenis bentuk buli yang boleh memberi kesan besar kepada mangsa. Jadi, mari kita lihat satu-satu.
Buli secara fizikal
Buli secara fizikal adalah buli yang paling mudah untuk dikesan kerana ia melibatkan serangan fizikal kepada mangsa seperti memukul, menendang, menampar, mengugut secara terbuka dan sebagainya. Menggigit juga boleh diletakkan dalam kategori membuli kerana ia boleh tinggalkan kesan jelas pada tubuh mangsa.
Sering juga diperkatakan bahawa mangsa buli yang menjadi sasaran buli ini adalah mereka yang nampak lebih lemah berbanding orang lain. Si pembuli biasanya akan mengambil kesempatan atas perbezaan itu, terutamanya sekiranya pembuli merupakan ‘senior’ dan ingin menunjukkan status hierarkinya.
Oleh itu, apa-apa perbuatan fizikal yang melibatkan sentuhan secara kasar ini boleh jatuh sebagai buli yang serius sebab ia boleh meninggalkan parut dan trauma kepada mangsa yang terlibat.
Buli secara lisan
Bagi buli lisan pula, ia adalah buli yang dilalukan dalam bentuk percakapan. Pembuli yang membuli secara lisan ini selalunya menjatuhkan mangsa dengan cara menyebarkan khabar berita atau fitnah, melakukan ejekan atau penghinaan serta memulaukan mangsa secara halus.
Antara buli lisan yang paling ketara berlaku zaman sekarang adalah seperti ‘bodyshaming’. Menurut Vocket, seorang pempengaruh pernah dikenakan ganti rugi sebanyak RM100,000 hanya disebabkan melabel orang lain gemuk. Pempengaruh itu juga telah mengaibkan fizikal mangsa di Facebook secara siaran langsung. Mangsa berasa malu diperlakukan sebegitu tidak teragak-agak untuk terus membawa kes ke mahkamah.
Meskipun buli lisan ini tidak meninggalkan kesan yang jelas pada tubuh mangsa, namun trauma yang ditinggalkan sama besar impaknya seperti buli fizikal.
Artikel berkaitan: Bengang Ditegur Kerana Cuba Buli Rakan, Bekas Guru Dedah Kes Murid Tahun 1 Panggil Cikgu B*bi
Artikel berkaitan: Beberapa Suspek Kes Buli Zara Qairina Akan Didakwa – Peguam Negara
Pencerobohan relasi
Pencerobohan relasi atau dalam bahasa inggrisnya ialah ‘Relational Aggresion’ ini sering berkait dengan memanipulasikan sebuah khabar angin sehingga boleh merosakkan hubungan mangsa bersama orang-orang sekelilingnya. Pencerobohan relasi adalah jenis buli yang senyap dan boleh dikatakan sangat bahaya sebab ia tidak dapat boleh dilihat dengan jelas dan kita juga tak nampak kesannya.
Antara perbuatannya adalah seperti menyebarkan khabar angin atau mereka ‘gossip’ yang tidak berasas. Hal ini dilakukan adalah untuk memanipulasikan hubungan mangsa bersama orang lain agar mangsa dipulaukan atas sebab yang tidak relevan. Kesudahannya, mangsa akan dibiarkan bersendirian dan sentiasa tidak disenangi oleh orang sekelilingnya.
Jenis buli ini juga boleh dilakukan di mana-mana sahaja, di sekolah, tempat kerja, mahupun di atas talian. Sebab tu kita mudah untuk terlepas pandang dan susah untuk dikesan sekiranya berlaku perkara ini.
Buli siber
Buli siber atau ‘cyber bullying‘ adalah dimana pengguna sosial media mengambil kesempatan dengan menggunakan platform digital seperti media sosial dan aplikasi telefon pintar untuk menyebar fitnah atau ugutan. Antara yang kita boleh lihat adalah menerusi ‘chatting’, laman web sosial dan permainan atas talian. Sering juga pengguna media sosial yang melakukan buli siber ini menggunakan profil tipu agar akaun profil mereka tidak dapat untuk dijejak.
Buli siber ini telah mencetuskan kembimbangan orang ramai kerana ia boleh memberi kesan dalam kadar segera kerana penggunaan internet secara khususnya adalah tidak terhad dan luas rangkaianya. Serangan pembuli terhadap mangsa juga boleh dilakukan pada bila-bila masa, asalkan dengan penggunaan internet dan sosial media.
Kesan yang boleh dirasai pada mangsa adalah seperti kemurungan dan paling merisaukan adalah sekiranya mangsa sampai mahu mencederakan diri sendiri kerana terlalu tertekan dengan kecaman yang diperolehi dari internet.
Gangguan seksual
Gangguan seksual juga dianggap sebab perbuatan membuli meskipun ia tidak membuat serangan fizikal yang ganas. Buli secara seksual ini sering terdiri daripada tindakan menyentuh mangsa secara berulang, serta memalukan seseorang secara seksual.
Antara contoh buli secara seksual bukan sahaja berlakunya sentuhan yang tidak diingini, malah sekiranya kita dipanggil dengan nama panggilan yang berbentuk seksual, atau dijadikan bahan lucah kepada orang lain juga sudah cukup dikategorikan dalam buli seksual. Hal ini kerana, buli seksual boleh menyebabkan serangan seksual berlaku sekiranya ia tidak dibendung dari peringkat awal.
Golongan wanita adalah antara yang sering menjadi sasaran kepada buli seksual. Namun, ini tidak bermakna lelaki terlepas daripada menjadi mangsa buli seksual. Tidak kira mana-mana jantina sekalipun, buli seksual tetap salah dan tiada seorang pun sepatutnya menjadi mangsa kepada buli seksual.
Buli prasangka
Sekiranya kita pernah dibuli hanya disebabkan kita mempunyai berbeza kepercayaan, nilai kehidupan, pendapat dan pemikiran, ini bermakna kita berada dalam kategori buli prasangka.
Selain daripada sikap tidak percaya terhadap perbezaan pendapat dan kepercayaan orang lain, pembuli juga cenderung untuk menyerang seseorang yang mempunyai kelainan dalam kepercayaan agama dan pandangan politiknya.
Buli jenis ini selalunya berlaku sebab pembuli itu sendiri rasa ‘insecure’ dan kurang sifat keterbukaan dalam memahami kelainan dan keunikan orang lain. Sebab itu, orang yang ‘lain’ sikit ini sering dijadikan sasaran untuk dibuli.
Namun begitu, kes buli bukanlah perkara yang boleh diambil ringan. Biarpun fizikal, emosi atau sosial, luka yang dirasai memberi impak sedikit sebanyak dalam kehidupan mangsa.
Jadi, penting untuk kita kenali jenis-jenis buli dan sama-sama peka dengan masyarakat. Janganlah kita diam kalau nampak, dan jangan sesekali menjadi sebahagian daripada masalah.
Sumber: MKN, Astro Awani, Choosing Therapy