Kematian kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dikategorikan sebagai mencurigakan oleh doktor pakar yang melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa.
Menurut Harian Metro, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan yang sebelum ini bertugas di Hospital Sungai Buloh telah melakukan bedah siasat mayat kanak-kanak itu pada 12 tengah hari, 7 Disember 2023.
Beliau yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, berkata, dia mendapati terdapat kecederaan kanak-kanak itu yang tidak selari dengan keadaan sekitar lokasi kejadian mangsa ditemui.
Kes ini bukan kematian biasa, ia dikategorikan ‘suspicious’ atau ‘homicide until proven otherwise’, sekiranya semasa buat bedah siasat tiada kecederaan dan kes itu adalah betul-betul kes lemas, maka saya akan serahkan semula kepada pegawai perubatan forensik saya,” katanya.
Artikel berkaitan: “Meningg*l bukan sebab lemas tapi…” – Doktor Dedah Hasil Bedah Siasat Zayn Rayyan
Artikel berkaitan: “Stressnya sampai rasa nak…” – Perbualan Aplikasi WhatsApp Dalam Folder ‘Baby Sayang’ Berkaitan Kes Zayn Rayyan Didedahkan
“Kes ini bukan mati lemas kerana…”
Berikut antara sesi soal jawab Dr Rohayu dengan Timbalan Pendakwa Raya:
Raja Zaizul: Kenapa bedah siasat dijalankan pada jam 12 tengah hari?
Dr Rohayu: Ini kerana apabila mayat tiba di Hospital Sungai Buloh ia dikategorikan sebagai kes mati biasa, bedah siasat akan dilakukan oleh pegawai perubatan forensik. Bagaimanapun di Hospital Sungai Buloh, sebelum bedah siasat dilakukan, pegawai perubatan akan merujuk kepada pakar bertugas, pada hari kejadian saya adalah pakar bertugas atas panggilan (on call). Pagi itu (7 Disember) pegawai perubatan saya membentangkan sejarah kes dan diberitahu si mati adalah kanak-kanak autistik.
Secara saintifik, kanak-kanak autistik mempunyai kesukaan tertentu, apabila pegawai perubatan mengatakan mangsa ini mati lemas, maka saya bertanya adakah kanak-kanak ini jenis suka air, apa kesukaan dia kerana jika suka air dia akan pergi ke tempat ada air dan bermain, apabila soalan ini tidak dapat dijawab, saya memberitahu pegawai perubatan supaya menghubungi polis untuk saya pergi ke tempat kejadian, jadi bedah siasat tidak dilakukan sehingga lawatan ke tempat kejadian.
Selepas meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan, beliau mendapati kecederaan kanak-kanak itu tidak selari dengan keadaan sekitar lokasi kejadian mangsa ditemui.
“Di situlah saya simpulkan bahawa, kes ini bukan mati kerana lemas, kerana kesan guntingan di telinga, kesan luka tajam di lengan tidak konsisten dengan tempat kejadian kerana lokasi itu adalah kawasan sungai, terdapat pohon kecil dan besar.
“Jika si mati terjatuh, luka tumpul boleh kelihatan pada badan mangsa, sepatutnya ada pada anggota tubuh yang terdedah sahaja, jadi lokasi kejadian itu tidak boleh hasilkan kesan jerutan,” katanya.

Raja Zaizul: Boleh doktor nyatakan ketika membuat lawatan ke tempat kejadian?
Dr Rohayu: Pegawai penyiasat ketika itu ASP Mohd Nasir Mustapha membawa saya dan pegawai perubatan ke kawasan perumahan flat, di situ saya ditunjukkan taman permainan di mana si mati bermain, dan seterusnya ditunjukkan lorong mana dilalui, berdasarkan kepada pemerhatian terdapat dua lorong boleh dilalui apabila kanak-kanak ini selesai bermain, tetapi lorong itu kerap dilalui berbanding lagi satu. Saya tengok lukisan mural di lorong lagi satu menunjukkan sifat kanak-kanak ini berdasarkan polis, kesukaan dia bermain di taman permainan dan melalui lorong banyak lukisan dan mural, daripada situ polis menunjukkan bahagian tangga kanak-kanak itu disedari hilang.
Raja Zaizul: Kemudian?
Dr Rohayu: Daripada kawasan tangga itu kami berjalan sehingga ke sungai di mana mangsa ditemui, apabila saya melihat laluan ke situ terdapat cerun bukit, keadaan ini adalah laluan kompleks untuk kanak-kanak autistik, dan kesukaannya bukan air dan mangsa ini tidak selalu ke sungai itu.
Selepas melihat tempat kejadian maka saya kata kes itu saya akan ambil, lawatan ini penting untuk saya ‘corroborate’ (menyokong) kecederaan mangsa dengan tempat kejadian.
Bila ditanya berkaitan tempoh kematian Zayn Rayyan hingga mayat mengalami pembusukan, Dr Rohayu berkata, memandangkan mayat sudah melalui proses abdomen mengembung, maka dia menjangkakan kematian kanak-kanak itu melebihi 24 jam, paling tidak 48 jam tetapi kurang dari tujuh hari.
Anggaran waktu kematian mangsa pada 30 November hingga 5 Disember (2023), ini kerana proses pembusukan biasanya bermula selepas 24 jam dalam keadaan biasa, tetapi sekiranya terdapat luka-luka dan suhu yang tinggi serta mayat dibiarkan di luar dan terdedah kepada serangga seperti lalat maka proses pembusukan boleh berlaku lebih cepat daripada 24 jam,” katanya.
Perbicaraan akan disambung hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.
Sumber: Harian Metro