Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita pasangan bakal pengantin terjunam ke gaung sedalam 67 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris-Sg Gawi-Aring, Bukit Kawah.
Kejadian ini juga telah meragut dua nyawa iaitu Hassan Shazali, 52, dari Melor, Kota Bharu dan Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang.
Rupa-rupanya, lokasi ini pernah merekodkan insiden yang sama sebelum ini. Oleh demikian, ini adalah antara perkara yang korang perlu tahu mengenai insiden ini.
Artikel Berkaitan: Baju Pengantin Ditemui Dalam Kenderaan Yang Terjunam Ke Dalam Gaung – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Gagal Elak Tanah Runtuh, Kereta Terjunam Ke Dalam Gaung Di Gua Musang – Lobak Merah
Sebuah SUV ditemui jatuh gaung

Menurut Berita Harian, insiden yang berlaku pada Jumaat lalu telah meragut nyawa seorang guru dan seorang pekerja kantin selepas kenderaan yang mereka naiki terjatuh ke gaung yang sedalam 67 meter.
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu menuju ke Gua Musang setelah membuat persiapan majlis perkahwinan di Terengganu.
Menurut ibu mangsa Suzaimah, pasangan itu sebenarnya dijadualkan untuk melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember nanti. Lebih memilukan, baju pengantin turut ditemui di dalam kenderaan yang terjunam ke gaung berkenaan.
SUV berkenaan dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung. Kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan mendapati tiada kesan brek

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, beliau telah mengesahkan yang tiada papan tanda amaran dan penghadang jalan yang dipasang di lokasi tanah runtuh menjadikan pasangan ini berkemungkinan tidak sedar bahawa laluan itu sebenarnya adalah laluan yang ditutup.
Sebenarnya, papan tanda amaran dan penghadang jalan sentiasa ada dipasang di lokasi tersebut, namun pihak polis percaya ia mungkin dialihkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Siasatan juga mendapati yang kenderaan terbabit bergerak dalam kadar yang perlahan berdasarkan serpihan yang ditemui di lereng gaung.
Jika pemandu memandu laju, biasanya kenderaan akan ‘terbang’ sedikit sebelum terjatuh ke dalam gaung. Namun, berdasarkan serpihan kenderaan yang ditemui di lereng gaung, polis yakin SUV itu tidak dipandu laju dan terus terjunam ke bawah,” katanya.
Polis juga percaya yang punca kemalangan tersebut lebih kepada faktor kecuaian manusia dalam tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika pemanduan.
Selain kesan brek tidak dijumpai di kawasan berkenaan, kamera papan pemuka atau dashcam pada kenderaan itu turut tidak ditemui ekoran dipercayai telah tercampak ketika kejadian.
Laluan itu sudah ditutup sejak tahun lalu

Menurut laporan Malaysia Gazette tahun lalu, sebuah amaran pernah dikeluarkan yang menasihati orang ramai agar tidak menggunakan laluan sementara Felda Aring-Tasik Kenyir, Hulu Terengganu kerana ianya tidak selamat dan berisiko tinggi buat kegunaan awam.
Laluan tidak rasmi yang dibina di kawasan tersebut adalah disebabkan oleh sebuah syarikat kontraktor untuk kegunaan urusan mereka, namun ada orang awam yang kerap menumpang lalu.
Namun, jalan itu sebenarnya tidak selamat untuk digunakan bagi kenderaan awam terutamanya pada musim hujan ekoran tanahnya yang licin dan berisiko.
Bukan insiden yang pertama

Sebenarnya kejadian yang serupa pernah dilaporkan di laluan yang menghala ke Gua Musang juga.
Pada sekitar awal Disember 2025, terdapat satu insiden di mana seorang lelaki terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing selepas melalui jalan yang sudah ditutup akibat tanah runtuh.
Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang ke Pasir Putih, Kelantan sebelum kenderaan yang dipandu itu terjatuh ke dalam gaung di kawasan tanah runtuh tersebut.
Namun, mangsa berjaya diselamatkan selepas kejadian terbabit disedari oleh salah seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd yang sedang memantau kawasan terbabit terdengar suara orang menjerit dan meminta tolong.
Kementerian Kerja Raya ambil tindakan

Menurut Berita Harian, Kementerian Kerja Raya sudah mengambil tindakan membuat laporan polis susulan insiden pengguna jalan raya yang mengabaikan arahan penutupan laluan.
Antara langkah lain diambil termasuk pemasangan papan tanda amaran dan pelaksanaan sekatan konkrit di kedua-dua arah laluan,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Di samping itu, orang ramai turut digesa untuk tampil memberi maklumat mengenai pihak yang mengalihkan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kemalangan.
Beliau menegaskan bahawa kejadian ini merupakan perkara serius kerana kawasan berkenaan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan yang ditetapkan.
Namun, memandangkan terdapat dakwaan bahawa papan tanda amaran dan penghadang jalan dialihkan, maka pihak berkuasa perlu ambil tahu isu ini ekoran KKR memang tidak mengalihkannya.
Jika dakwaan (tanda amaran dan penghadang jalan) dialihkan, penting untuk kita tahu siapa yang mengalihkannya.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memang tidak mengalihkan dan memang kita buat langkah keselamatan,” jelas beliau dengan tegas.
Meskipun kejadian ini dilaporkan punca insiden berlaku disebabkan faktor kecuaian dalam pemanduan, namun KKR tetap memandang insiden ini serius kerana ketiadaan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kejadian yang sepatutnya memang dipasang di situ.
Sumber: Berita Harian
