Berikutan kes tular bekenaan BUDI95 baru-baru ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil mengeluarkan kenyataan berikutan salah faham orang ramai berkenaan kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara tersebut.
Menurut kenyataan berkenaan, kenyataan yang dikeluarkan adalah berkait siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemilik sebenar kad pengenalan tersebut, selaras dengan bidang kuasa Jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan dokumen pengenalan diri.
JPN turut menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95 selagi ia tidak melanggar peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pun begitu, merujuk Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan dan di bawah bidang kuasa JPN, mereka bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara selamat dan tidak disalahgunakan.
Tambah kenyataan tersebut, konteks yang dilaporkan ialah mengenai siasatan yang tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan 4 keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan.

JPN menegaskan kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara itu bukanlah bertujuan untuk menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.
Dalam pada itu, JPN turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan kad pengenalan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkan kepada pihak lain bagi sebarang urusan, termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.
JPN juga akan terus komited dalam memastikan MyKad yang dikeluarkan berfungsi dengan baik sebagai instrumen pengenalan diri yang sah dan diyakini, termasuk dalam menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti BUDI95.
Artikel berkaitan : KPDN Bakal Sekat Penggunaan Kad Kredit & Debit Asing Bagi Pembelian Petrol RON95 Di Stesen Minyak Bermula 1 April
Artikel berkaitan : Penyasaran Subsidi RON95 Berhasil, Kerajaan Jimat RM800 Juta – PM
Manakala, bagi aspek penyalahgunaan subsidi (termasuk BUDI95) penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan.
Semua pihak diminta merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat tafsiran agar perbincangan awam dapat berlangsung secara berhemah dan berfakta.
Dalam satu perkembangan lain, seorang pengguna di Threads mendakwa individu boleh memohon untuk penambahan kuota yang perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Menurut penjelasan pegawai di talian Pusat Khidmat Budi Madani, ianya hanya terpakai kepada pemandu e-hailing kerana perkara tersebut terkait secara langsung dengan penjanaan pendapatan.
Tambahnya lagi, setakat ini tiada maklumat rasmi yang dikeluarkan mengenai penambahan kuota BUDI95 kepada individu.
Sumber : JPN
