Masuk hari ketiga, namun rangka utama bangkai pesawat Lion Air JT610 masih belum ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat. Sejak operasi itu mula dijalankan, pihak mereka berjaya temui serpihan pesawat, barangan peribadi dan beberapa cebisan mayat yang telah pun dihantar untuk proses kenal pasti identiti.
Pelbagai kisah dikongsi ahli keluarga mangsa nahas pesawat tu yang meruntun hati ramai pihak. Antaranya adalah kisah bapa dan anak yang sempat hantar gambar selfie dekat isterinya beberapa minit sebelum berlepas.

Hari ini, tular pula kisah perkongsian daripada dua nelayan yang berada di laut untuk mencari hasil tangkapan ketika nahas itu berlaku. Menurut mStar, Badi dan Gauk keluar dari rumah mereka dengan pukat udang pada awal pagi Isnin menaiki sebuah bot untuk ke perairan utara Indonesia.
Sekitar waktu yang sama, anak kapal dan penumpang pesawat Lion Air JT610 sedang mendaftar masuk di lapangan terbang Jakarta.
Seperti yang kita semua tahu, pesawat itu telah hilang dari radar dan terhempas 13 minit sejurus berlepas dari lapangan terbang. Rupa-rupanya, dua sekawan itu berada hanya 15 kilometer dari perairan tempat pesawat tu terhempas.
Perairan yang sunyi pada awal pagi tu tiba-tiba menjadi bingit apabila kapal terbang berkenaan jatuh terhempas di permukaan laut. Menurut Badi dan Gauk, dek kerana keadaan sekeliling yang sangat sunyi, bunyi dentuman itu kuat kedengaran sewaktu mereka sedang mencari hasil tangkapan.
Kamu boleh merasai letupan dari arus air laut setelah kapal terbang itu terhempas.”
Penerbangan yang membawa 189 penumpang termasuk anak kapal tu dilaporkan meminta kebenaran untuk berpatah balik kerana masalah teknikal sebelum terhempas. Sehingga kini, waris-waris mangsa masih berada di lapangan terbang mengharapkan keajaiban dan menunggu perkembangan terkini daripada pasukan penyelamat.
Manakala, menurut pasukan penyelamat, mustahil untuk mereka menemukan mangsa yang masih hidup memandangkan mayat yang mereka jumpai setakat ini berkecai dan dalam keadaan tidak sempurna.
Moga usaha pencarian hari ini berjaya menemukan bangkai pesawat dan mangsa yang lain.
Baca: Lion Air JT-610: Suami Sempat Hantar Gambar Selfie Dengan Anak Sebelum Terkorban Dalam Nahas