Jika anda ada melayari media sosial baru-baru ini, pasti anda sedar akan fenomena filem bergenre seram dari negara seberang, KKN di Desa Penari.
KKN di Desa Penari mengisahkan 6 orang sahabat yang perlu menjalankan Kerja Kuliah Nyata (KKN) di sebuah perkampungan terpencil di dalam hutan, sebagai salah satu tugas oleh universiti mereka.
Setibanya di sana, banyak perkara aneh yang berlaku kepada 6 orang pelajar ini, sehingga terjadi sesuatu yang mengerikan terhadap mereka.
Berdasarkan kisah sebenar pada 2009
Untuk pengetahan anda, filem KKN di Desa Penari ini adalah berdasarkan kisah sebenar yang berlaku kepada sekumpulan pelajar pada tahun 2009 yang perlu menyiapkan tugas KKN mereka.
Sebelum ini, kisah ini hanya dikongsikan menerusi bebenang ciapan di Twitter oleh seorang individu yang tidak mendedahkan identitinya, dan hanya menggunakan nama samaran sebagai SimpleMan.
Ciapan tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan memandangkan ceritanya yang terlalu unik serta menarik. Kisah yang dikongsikan dalam Twitter itu akhirnya difilemkan, dan terhasilnya filem KKN di Desa Penari ini.
KKN di Desa penari-
Horror Story-@bacahorror #bacahorror pic.twitter.com/QM0zY8m9rj
— SimpleMan (@SimpleM81378523) June 24, 2019
Lokasi tidak didedahkan di dalam filem
Difahamkan, pelajar asal yang berhadapan dengan kisah mistik ini meminta pihak produksi filem agar tidak mendedahkan identiti mereka, serta lokasi kejadian mistik tersebut.
Jadi, bilangan pelajar, nama asal serta lokasi yang digunakan di dalam filem KKN di Desa Penari ini bukanlah nama sebenar. Malah, nama lokasi di dalam filem ini ditutup sebagai tanda penghormatan kepada pelajar tersebut.
Selain itu, 6 pelajar di dalam filem juga dikatakan bukanlah jumlah sebenar pelajar yang mengikuti KKN di Desa Penari itu. Menurut sumber, jumlah pelajar sebenar ialah 14 orang.
Lokasi asal di Banyuwangi, Jawa Timur?
Beberapa warganet Indonesia ada cuba menyelongkar misteri filem ini, dan mencari lokasi sebenar Desa Penari tersebut. Hasil carian adalah berdasarkan informasi yang diberikan dan kemiripan lokasi berdasarkan kisah sebenar.
Menurut salah seorang sumber, lokasi sebenar Desa Penari adalah di Rowo Bayu. Rowo Bayu adalah satu lokasi di Desa Bayu, Kecamatan Songgong, Banyuwangi, Jawa Timur.
Difahamkan, terdapat sebuah perigi di tengah hutan yang tebal yang dikatakan dahulunya adalah tempat Raja Blambangan, Prabu Tawung Alun bertapa. Warga tempatan di situ juga percaya perigi itu adalah tempat yang penuh misteri.
Bagaimanapun, ada beberapa individu yang menyangkal dakwaan ini dan berkata Rowo Bayu bukanlah lokasi sebenar di dalam filem KKN di Desa Penari.
Ada juga yang mengatakan lokasi sebenar adalah di Alas Gumitir, yang juga terletak di Jawa Timur. Difahamkan, tempat ini terdapat rekaan patung yang menari.
Sumber mengatakan lokasi ini didedahkan sendiri oleh salah seorang pelajar yang mengikuti KKN tersebut. Bagaimanapun, dakwaan ini disangkal sekali lagi oleh beberapa individu.
Persoalannya di sini, di manakah lokasi sebenar filem KKN di Desa Penari dan apakah yang terjadi di lokasi itu pada ketika ini?