Tidak perlu diperkenalkan lagi, rata-rata rakyat Malaysia cukup mengenali sosok tubuh Khairul Aming sebagai seorang personaliti media sosial di negara ini.
Kali ini, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman menggalas tanggungjawab sebagai juri untuk acara TikTok Awards Malaysia 2024 yang berlangsung malam tadi.
Sebagai pemenang ‘Creator of The Year’ pada tahun lalu, Khairul Aming tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pesanan kepada orang ramai terutama golongan muda yang ingin menjadi seorang content creator.
Jika tahun lalu Khairul Aming menyeru golongan muda untuk meneruskan pembelajaran walaupun mempunyai cita-cita menjadi content creator, pesanan kali ini pula lebih kepada nasihat untuk menjadi pempengaruh yang berkualiti.
Artikel berkaitan: Rangkul Anugerah ‘Creator Of The Year’, Pesanan Khairul Aming Buat Anak Muda Dipuji Ramai!
Artikel berkaitan: “Do you know Khairul Aming?” – Netizen Bangga KA Dikenali Hingga Ke London
“Jika hari ini kita pergi ke sekolah dan kita tanya satu soalan kepada adik-adik, apa adik nak jadi bila dah besar nanti? Majoritinya yang akan menjawab, saya nak jadi seorang content creator.
“Sebenarnya tiada masalah jadi content creator, sebab banyak impak positif yang kita boleh bagi kepada masyarakat.
“Tapi dalam masa yang sama kita juga boleh bagi pengaruh yang kurang baik. Kalau kita buat content tanpa rasa tanggungjawab sebagai contoh, demi mengejar view dan juga engagement ada yang sewenangnya melontarkan perkataan seperti pendidikan itu tidak penting ataupun bad marketing is good marketing, atau tak apalah orang kecam asalkan kita kaya.”
Fullspeech Khairulaming masa Tiktok Awards 2024 pic.twitter.com/MR4ljD0TRl
— フィルダウス (@frdausyasin) August 11, 2024
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah meracuni pemikiran golongan muda dan perkara ini seharusnya perlu dielakkan.
“Sebab itulah hari ini saya nak ajak kesemua content creator bukan untuk sama-sama kita tambahkan nilai positif dalam content yang kita hasilkan di media sosial, dengan harapan dia akan jadi ikutan anak-anak muda di luar sana,” katanya.
Teguran dan pesanan Khairul Aming turut mendapat reaksi positif netizen kerana sudah cukup muak dengan kandungan yang mencetuskan kontroversi sejak belakangan ini.
Untuk info, pempengaruh Che Sayang diumumkan sebagai ‘Creator of The Year’ untuk tahun ini, manakala bagi kategori selebriti dimenangi oleh pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah.
Sumber: X