Gara-gara mahu mencari duit lebih untuk perbelanjaan raya dengan cara yang salah, hasrat dua lelaki termasuk warga emas tidak kesampaian apabila mereka ditahan ketika ingin membeli nombor ekor di Masjid Tanah, Melaka.
Kedua-dua lelaki tersebut ditahan dalam satu operasi Perangi Jenayah Syariah (Perjasa) oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Difahamkan, operasi berlangsung di beberapa lokasi di negeri itu bermula 10 pagi hingga 2 petang.
Menurut Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, kedua-dua lelaki tersebut berusia 52 dan 63 tahun berada di dalam premis tersebut ketika penguatkuasa sedang melakukan pemeriksaan.
Sambungnya lagi, kedua-dua lelaki tersebut tidak menyedari akan kehadiran pihak berkuasa sebelum ditahan dan disoal siasat. Difahamkan, mereka cuba untuk melarikan diri namun tidak berjaya.
“Dipercayai ketika itu mereka mungkin hendak membeli atau sedang berurusan namun sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa kedua-duanya bergegas meninggalkan kaunter tetapi berjaya ditahan penguatkuasa JAIM.
“Ketika ditahan dan disoal siasat, mereka memberi alasan berbuat demikian untuk mencuba nasib bagi mendapatkan duit lebih bagi perbelanjaan sambutan hari raya,” katanya kepada sumber.
Kedua-dua lelaki tersebut akan berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Kredit: Harian Metro
BACA: Lagi Kes Polis ‘Pow’ Orang, Minta RM 20K Kalau Tak Nak Ditangkap Beli Nombor Ekor