Lewat malam tadi, negeri Sabah telah kehilangan seorang tokoh politik ikonik apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada jam 1.46 pagi (Jumaat).
Berita mengenai pemergiaan pemimpin berusia 66 tahun ini telah dikongsikan oleh anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Latar belakang Bung Moktar
Sinonim dengan laungan ‘Radu Tatap Radu’, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah ini telah dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan, Sabah.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bung Moktar memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan dari 1987 hingga 1991, dan kemudiannya bertugas sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan pada 1991 hingga 1992. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Selain itu, Allahyarham juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Artikel berkaitan: “Beri saya 5 tahun untuk selesaikan masalah kecurian air & elektrik di Sabah” -Bung Mokhtar
Artikel berkaitan: “Ujilah, saya tak takut” – ‘Panglima Perang’ Bung Mokhtar Tawar Diri Jadi Orang Pertama Terima Vaksin Covid-19
Langkah Bung Moktar di arena politik
Dalam arena politik nasional, Bung Moktar telah memulakan langkahnya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999, dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Allahyarham juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO, termasuklah Ahli Majlis Tertinggi parti dan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan sehingga kini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Pada PRN Sabah baru-baru ini pula, beliau mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Ucapan takziah daripada pemimpin
Pemergian Allahyarham ternyata memberi kesan mendalam kepada sahabat seperjuangan serta lawannya dalam arena politik negara.
Antara yang paling terkesan dengan pemergiannya adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, menyifatkan Bung Moktar sebagai teman yang setia waktu susah dan senang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dalam hantarannya awal pagi ini mengenang Allahyarham sebagai sahabat lamanya yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Allahyarham telah meninggalkan dua isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad serta tujuh orang anak.
Difahamkan, jenazah Ketua UMNO Sabah ini dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, Kota Kinabalu selepas Solat Jumaat.
Ziarah terakhir pula diadakan di kediaman Allahyarham di Idang Residen, Luyang, antara jam 8 hingga 9.30 pagi. Al Fatihah.
