Sebentar tadi, dikhabarkan bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, dilaporkan meninggal dunia.
Dalam perkembangan terbaharu, bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix itu dilaporkan meninggal dunia disebabkan kecederaan parah akibat ditetak dengan pedang samurai selepas terbabit dalam satu pergaduhan di Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar mengesahkan kejadian dipercayai berlaku antara 9 hingga 10 malam pada Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah lelaki berusia 51 tahun.
“Pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.
“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.”
Menurutnya, mangsa (Elly Idzlinizar) yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans namun disahkan meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam Selasa.
3 suspek ditahan
Susulan itu, polis telah menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan terbabit.
Menurut pihak polis lagi, telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu telah dirampas.
Hasil siasatan lanjut turut mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan (satu di bahagian tangan kanan, 3 di bahagian tangan kiri dan 7-8 di bahagian belakang badan) pada badan mangsa.
Menurut laporan, mangsa dan suspek saling mengenali dan sentiasa berurusan antara satu sama lain. Motif pergaduhan masih dalam siasatan.
Saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.
Sementara suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah.
Suspek ketiga yang juga anak kepada suspek pertama pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah.
Sumber: Berita Harian