Sebahagian besar mangsa dan keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sama ada terkorban dan terselamat dalam nahas di Gerik, Perak pada minggu lalu didapati masih dalam keadaan trauma.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, beberapa mangsa yang terselamat dikenal pasti mengalami kecederaan serius yang mengakibatkan kecacatan kekal.
Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pihak kementerian bagi mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang akan diberikan kepada mangsa.
Artikel berkaitan: Nahas UPSI: Lukisan Allahyarham Mustaqim Seakan Beri Gambaran Kemalangan
Artikel berkaitan: Pelajar UPSI Yang Terkesan Dengan Kemalangan Gerik Tidak Perlu Tunda Semester
Mangsa yang mengalami kecederaan serius seperti patah kaki, kehilangan anggota badan dan kecederaan jangka panjang akan diberikan perhatian khusus.
Jelasnya, kesemua kes yang membabitkan kecacatan kekal akan melalui proses siasatan dan penilaian sebelum bantuan susulan disalurkan.
“Dari segi jumlah mangsa yang alami kecacatan kekal akibat insiden ini masih dalam siasatan kerana ada mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk di Perak dan Terengganu.
“Jadi biarlah mereka stabil dahulu sebelum kita jalankan proses lanjut kerana proses ini kita perlu lakukan secara berhemah,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan siasatan ke atas semua mangsa untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Kita tidak mahu mereka yang mengalami kecederaan kekal ini terbeban dari sudut kewangan dan emosi.”
Difahamkan, seramai 15 mangsa terkorban dalam nahas terbabit manakala 33 lagi mengalami pelbagai kecederaan.
Sumber: Sinar Harian