Setelah beberapa tahun ibadah haji ditangguhkan, tahun ini kita dapat saksikan rakyat Malaysia yang terpilih untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Pun begitu, berita yang kurang senang didengar sedang tersebar di seluruh negara apabila kira-kira 380 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak semalam.
Menurut laporan Harian Metro, jemaah-jemaah haji yang telahpun berada di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA itu menjadi mangsa sindiket penipuan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Buat yang tidak tahu, visa furada ialah visa yang diuruskan secara persendirian dan dikatakan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Dalam sebuah tweet yang dikongsikan oleh Mohd Faizal Hassan, pihak agensi pelancongan yang sedang memegang pasport bakal jemaah haji itu juga telah ‘ghaib’ dan tidak dapat dihubungi.
Difahamkan pasport mereka ada pada agensi pelancongan yang kini ghaib.
Dijanjikan ke Mekah guna visa furada pada Selasa tapi sampai sekarang terkandas.
Ada yang bayar cecah 40k seorang.
Laporan polis dibuat untuk mencari suspek & kebenaran.https://t.co/g6av7IbUav
— MohdFaizalHassan 🇲🇾 (@f4izalhassan) July 7, 2022
Seorang mangsa penipuan itu berkata agensi pelancongan telah meminta semua jemaah yang berkenaan untuk datang ke KLIA semalam kerana penerbangan dijangka berlepas pada 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan telah ditangguh ke jam 7 malam.
“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira 6 petang tadi dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan,” katanya.
Malah, dia juga memberitahu mereka tidak pernah ditunjukkan sebarang tiket penerbangan serta visa untuk berangkat ke tanah suci.
Difahamkan, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman berkata, pihak polis masih merakamkan keterangan daripada pengendali agensi pelancongan tersebut.