Setiap kali tibanya bulan Ramadan, ramai yang tertnya-tanya mengenai ubat atau rawatan apakah yang boleh menyebabkan batal puasa. Untuk menjawab persoalan umum, Dr Samhan telah melakukan satu perkongsian ringkas di Twitter buat rujukan semua.
Bagi umat Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit matahari (masuk waktu subuh) sehinggalah terbenam matahari (masuk waktu maghrib) iaitu lebih kurang 14 jam sehari.
Jika anda perlu mengambil ubat tertentu, jom baca perkongsian dari Dr. Samhan untuk mengetahui sama ada ubat yang diambil tersebut boleh membatalkan puasa atau tidak.
“Doktor, boleh tak terangkan ubat mana yang boleh batalkan puasa dan tak batalkan puasa?”
Hari ini saya akan terangkan :
1️⃣ Ubat yang batalkan puasa
2️⃣ Ubat yang tak batalkan puasa
3️⃣ Prosedur yang tak batalkan puasa pic.twitter.com/Bg5b1qg6PK— Dr Samhan (@DoktorSamhan) March 24, 2023
Batal puasa atau tidak?
Ubat dan rawatan yang tidak membatalkan puasa:
- Penggunaan ubat titis mata, telinga dan cucian telinga dengan syarat ia tidak sampai batas gegendang telinga.
- Tablet sublingual yang diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan.
- Ubat cucuk insulin.
- Menampal, mencabut, membersihkan atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur tersebut dijalankan.
- Semua jenis suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.
- Pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.
- Ubat jenis sapuan (krim atau salap), balutan dan plaster pada permukaan kulit.
- Memasukkan tiub kateter melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung.
- Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit.
- Ubat kumur secara gargle dan ubat terapeutik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan.
- Menjalani biopsi iaitu pengambilan spesimen atau cebisan daripada anggota badan.
- Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut.
- Rawatan bius setempat atau separuh.
- Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
Manakala, ubat atau rawatan perubatan yang akan membatalkan puasa ialah:
- Ambil ubat biji.
- Penggunaan inhaler untuk asma.
- Memasukkan sebarang tiub kecil (pesari) atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita.
- Memasukkan sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita.
- Penggunaan alat seperti enema, tiub supositori, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum untuk pemeriksaan.
- Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.
- Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.
Bagaimana pula jika perlu makan ubat?
Individu yang menghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan sebagainya yang perlu mengambil ubat setiap hari bukanlah tidak boleh berpuasa.
Pada masa yang sama, jangan pula culas ambil ubat dengan alasan terlupa atau tidak ada masa!
Masa pengambilan ubat boleh diubah sekiranya anda berpuasa. Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum anda menukar masa pengambilan ubat.
Berikut adalah panduan umum berkaitan pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa:
Moga perkongsian ini membantu anda!
Sumber: Portal MyHealth
Baca: KPM Anggap Tiada Keperluan Untuk Tutup Kantin Sekolah Masa Bulan Puasa