Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini telah memutuskan bahawa satu fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa Selangor yang telah mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia dibatalkan.
Memetik laporan Berita Harian, fatwa tersebut hanya terpakai kepada perseorangan yang beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.
Artikel berkaitan : Spesis Baharu Ketam Ditemui Di Gunung Jerai, Diberi Nama ‘Ketam Bunian’
Artikel berkaitan : Mahasiswa Kantoi Rakam Ibu Hamil Di Pasar Raya, Didakwa Banyak Simpan Video Untuk Kepuasan Diri
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti telah membenarkan rayuan yang dikemukan SIS dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar dan ia sekaligus mengetepikan keputusan Mahakamah Tinggi dan Mahakmah Rayuan sebelum ini.
Tengku Maimun yang mengetuai panel untuk 5 hakim Mahkamah Persekutuan berkata ‘orang yang menganut agama Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk kepada orang semula jadi, dan ianya tidak merujuk kepada entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut bersidang.
“Walaupun perkara dipertikaikan berkaitan fatwa, isu sebenar yang kami nilai adalah berkenaan tafsiran perkataan ‘orang yang menganut agama Islam’ dalam Perkara 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”
“Kami mendapati istilah itu hanya merujuk kepada orang perseorangan, dan bukan entiti buatan seperti syarikat.”
“Tafsiran ini selari dengan hakikat bahawa hanya orang perseorangan boleh mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji, semua ini adalah rukun utama dalam Islam.”
“Syarikat sebagai entiti buatan tidak mempunyai kapasiti untuk bertaubat seperti disarankan dalam fatwa itu.”
Selain itu, pihak mahkamah turut menyatakan perenggan satu dan empat dalam fatwa berkenaan (yang ditujukan kepada individu) adalah sah dan ianya berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.
Namun, Tengku Maimun menjelaskan perenggan dua dan tiga dalam fatwa itu yang membabitkan agensi Persekutuan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), adalah tidak berperlembagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak mahkamah tiada membuat sebarang penilaian terhadap kandungan teologi fatwa itu, sebaliknya hanya menumpukan kepada batas bidang kuasa undang-undang.
“Fokus kami hanyalah kepada batasan perundangan bidang kuasa, bukan kepada kesahihan pandangan agama,” katanya.
“Tidak perlu ‘menembusi tirai korporat’ kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi sentiasa dijalankan oleh individu.”
“Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas tindakan syarikat atau organisasi yang melanggar fatwa tetap tertakluk secara peribadi.”
“Jadi, isu pertubuhan lari daripada tanggungjawab tidak timbul. Tanggungjawab terhadap pelanggaran fatwa terletak pada individu di sebalik entiti itu.”
“Perkara ini turut disokong perenggan keempat fatwa, yang hanya meminta individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama supaya bertaubat.”
14 Mac 2023 lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan yang dibuat SIS untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor, yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Ia berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, yang memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa untuk mengeluarkan fatwa dalam isu agama yang belum dapat diselesaikan atau yang kontroversial.
Pada 31 Oktober 2014, SIS telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan fatwa berkenaan.
Sumber : Berita Harian