Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 sebulan bagi menstabilkan ekonomi negeri dan meringankan beban rakyat.
Langkah sama akan dilaksanakan ke atas setiap EXCO yang bakal dilantik selepas rombakan pentadbiran, dengan potongan RM1,500 sebulan bagi setiap EXCO.
Artikel berkaitan: Abu Bakar Hamzah Rasmi Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Perlis Baharu
Artikel berkaitan: Siapakah Menteri Besar Perlis Baharu? Istiadat Angkat Sumpah Dijangka Berlangsung Tengah Hari Ini
Sebelum ini, pentadbiran Perlis mempunyai lapan EXCO, tidak termasuk Menteri Besar. Abu Bakar berkata, pemotongan gaji ini dibuat demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Saya melihat begini, kita kena beri khidmat kita kepada negeri, kepada rakyat kerana ada rakyat di negeri ini yang sukar untuk mencari wang sekurang-kurangnya RM500 sebulan, nampak berat buat mereka jadi saya dengan rela hati membuat pemotongan ini supaya rakyat boleh melihat kita bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Sesi ‘Clock-In’ Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra, hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali; dan Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan.
Abu Bakar menegaskan pemotongan gajinya akan diteruskan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Pemotongan ini juga dilakukan untuk mengurangkan bebanan belanja negeri dan ini dilihat mampu untuk membantu negeri.
Bagi EXCO yang dilantik selepas ini, saya akan buat keputusan pemotongan ini untuk mereka dan jumlah RM1,500 ini rasanya tidak ada masalah buat mereka,” katanya lagi.
Pentadbiran beliau akan berlandaskan konsep 3B iaitu Bangkit, Bingkas dan Buat, bagi mengubah budaya kerja negeri menjadi lebih proaktif, berdaya saing dan bermatlamatkan hasil.
Sumber: Berita Harian
