Selalu kita dengar orang pelihara anjing sebab nak jadikan haiwan itu sebagai anjing pengawal untuk menjaga kediaman daripada diceroboh oleh orang jahat.
Namun, kali ini ada kisah seekor kucing peliharaan di Mississippi, Amerika Syarikat yang berjaya menggagalkan cubaan perompak untuk merompak rumah tuannya baru-baru ini.
Menurut Livemint, kucing seberat 9.1kg yang diberi nama Bandit itu tinggal bersama tuannya yang telah pencen iaitu Fred Everitt.
Dalam kejadian yang berlaku pada sekitar jam 2.30 pagi hingga 3 pagi itu, pemilik si bulus itu iaitu Everitt yang berusia 68 tahun mengatakan bahawa dia tiba-tiba tersedar daripada tidur selepas terkejut mendengar bunyi kucingnya mengiau di dapur.
Tak lama selepas itu, si bulus itu berlari dengan pantas ke biliknya dan ke atas katil serta menarik-narik selimut.
Tindakan kucingnya itu membuatkan Everitt berasa pelik kerana ia tak pernah bersikap sedemikian.
Jadi, Everitt pun bangun untuk lihat apa yang terjadi dan rupanya, ada seorang orang lelaki yang tidak dikenali cuba mengumpil pintu belakang rumahnya manakala seorang lagi pula memegang pistol.
Everitt kemudiannya bergegas untuk mengambil pistol miliknya untuk dijadikan sebagai alat pertahanan diri namun setelah dia kembali semula ke dapur, dia melihat bahawa perompak itu telah melarikan diri.
Lelaki itu berterima kasih kepada kucing peliharaannya kerana keadaan boleh menjadi bahaya jika Bandit tidak mengejutkannya.
Sumber: Livemint
Baca: Tertanya-tanya Kenapa Si Meow Suka Tidur Dengan Korang? Ini 5 Sebabnya…