Syarikat pembuat bekas plastik dan produk dapur, Tupperware Brands yang menjadi kegilaan para ibu mungkin tidak akan bertahan lama lagi di dalam pasaran.
Hal ini berikutan, Tupperware Brands dilapor sedang bersedia untuk memfailkan permohonan bankrap pada minggu ini.
Ia selepas syarikat itu dikatakan bergelut dalam usahanya selama setahun untuk memulihkan kembali perniagaan yang terjejas akibat pengurangan permintaan.
Bagaimanapun, rancangan untuk menfailkan permohonan bankrap itu dikatakan masih belum dimuktamadkan dan boleh berubah. Manakala wakil daripada jenama tersebut enggan memberikan sebarang komen setakat ini.
Artikel berkaitan: “Bye bye Tipuware!” – Projek Anak & Menantu, Bersihkan Rumah Sewaktu Mak Ayah Pergi Umrah
Artikel berkaitan: Baru Tahu! 7 Perkataan Harian Yang Sebenarnya Adalah Jenama Produk Popular
Menurut Bloomberg, Tupperware kini merancang untuk memohon perlindungan mahkamah selepas melanggar syarat hutangnya dan telah melantik penasihat kewangan serta perundangan.
Persiapan kebankrapan ini adalah susulan rundingan panjang antara Tupperware dan pemberi pinjamannya, yang berkaitan dengan cara mengurus hutang lebih daripada $700 juta (~RM2.9 bilion).
Pada Mac lalu, Tupperware memberi amaran bahawa perniagaan mereka mungkin tidak mampu bertahan sebagai entiti yang berterusan akibat masalah kecairan tunai.
Pada Jun lepas, syarikat itu merancang untuk menutup kilang tunggalnya di Amerika Syarikat dan memberhentikan kira-kira 150 pekerja.
Produk plastik Tupperware mula diperkenalkan kepada pengguna pada 1946 selepas pengasasnya, Earl Tupper mencipta bekas dengan penutup kedap udara fleksibel.
Jenama itu dengan pantas mendapat perhatian rakyat Amerika Syarikat, khususya dengan cara ia dijual menerusi parti jualan yang dianjurkan oleh pengguna wanita.
Syarikat itu kemudian terus bergantung kepada jualan langsung oleh sekumpulan besar penjual amatur sepanjang tempoh 80 tahun beroperasi. Setakat 2022, terdapat lebih 300,000 penjual bebas jenama itu direkodkan.
Kenangan apa yang korang tak boleh lupa dengan jenama Tupperware ni?
Sumber: Berita Harian