Baru-baru ini, seorang warga emas wanita meninggal dunia dan suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas memakan ikan buntal di Johor.
Menurut anak mangsa, Ng Ai Lee, ibu bapanya membeli ikan berkenaan daripada seorang penjaja van dan mereka tidak menyedari bahawa ikan yang dibeli itu adalah ikan yang mengandungi toksin maut.
Apa yang dikesalkan, Ng berkata bahawa penjual tersebut tidak memberitahu ikan yang dibeli oleh mereka sebenarnya beracun.
“Ibu bapa saya sudah bertahun-tahun membeli ikan daripada penjual ikan yang sama, jadi ayah saya tidak fikir dua kali mengenainya,” jelas Ng.
Difahamkan, Ng ada menghubungi penjaja tersebut sebelum ibunya disahkan meninggal dunia, namun penjaja itu memaklumkan bahawa selama ini dia menjual ikan buntal dan semua pelanggannya okay serta mendakwa punca keracunan mungkin atas faktor kesihatan ibu bapanya.
Pada waktu kejadian, mangsa, Lim Siew Guan, telah menggoreng ikan tersebut untuk makan tengah hari dan mula mengalami kesukaran bernafas serta menggigil manakala suaminya mula menunjukkan simptom yang sama sejam kemudian.
Lim telah disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam dirawat dan suaminya masih menerima rawatan di ICU di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor.
Ng menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kes seumpama ini berlaku kepada orang lain kerana penjualan ikan beracun semakin berleluasa.
Sumber : Harian Metro
Baca : Terima Aduan Popia Berbau Dijual Di Bazar, Pejabat Kesihatan Akan Buat Siasatan