Penindasan kejam terhadap etnik Uighur di Xinjiang seakan tiada titik noktah. Pusat tahanan yang sebelum ini tular dengan penyeksaan terhadap umat Islam di wilayah tersebut telah mendapat pelbagai kritikan dan kutukan keras ke atas kekejaman itu.
Kesan lebih 380 pusat tahanan
Terbaharu, berdasarkan kajian oleh Institut Polisi Strategik Australia (ASPI), ia mengesan lebih 380 pusat tahanan yang disyaki berada di wilayah Xinjiang dan dipercayai menahan lebih sejuta etnik Uighur.
Penemuan ini dikatakan 40 peratus lebih besar daripada jangkaan sebelum ini dan penghuninya juga semakin bertambah walaupun kerajaan China melaporkan telah membebaskan sebahagian besar tahanannya.
Antara penemuan menerusi imej satelit, ASPI berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya 61 pusat tahanan menyaksikan kerja-kerja pembinaan antara bulan Julai 2019 hingga Julai 2020.
Sebanyak 14 pusat tahanan masih dibawah kerja pembinaan pada 2020 dan 70 pusat dipagar atau dinding perimeternya dirobohkan sebagai tanda ia telah diubah atau ditutup.
“Sediakan program latihan dan pendidikan untuk mereka” -Kerajaan China
Walau bagaimanapun, Beijing menafikan kewujudan pusat tahanan itu dan kerajaan China mengatakan ia adalah pusat latihan vokasional untuk menentang aktiviti ekstrem.
Beijing baru-baru ini menerbitkan sebuah kertas putih yang mempertahankan dasarnya di Xinjiang. Ia mengatakan bahawa mereka menyediakan program latihan, skema kerja dan pendidikan yang lebih baik untuk etnik Uighur.
Kertas putih ini juga mendakwa pihak kerajaan telah memberi ‘sesi latihan’ kepada rata-rata 1.29 juta pekerja setiap tahun antara tahun 2014 dan 2019.
Namun begitu, APSI masih berpandangan bahawa ini hanyalah pusat tahanan yang berselindung dengan agenda sebagai sebuah kem pendidikan semula Xinjiang.
Sumber: Harian Metro
Baca: Kem Kotor & Sempit, Nyawa Tahanan Uighur Di Xinjiang Dalam Bahaya Dengan Penularan Novel Coronavirus