Nama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah baru-baru ini menjadi sebutan apabila wajahnya tiada dalam video promosi Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).
Perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sedangkan lagu duetnya bersama Wany Hasrita, Kucuma dipertandingkan.
Ada yang mendakwa, mungkin penyanyi tersebut telah menarik diri daripada anugerah berprestij itu.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Jamal Abdillah Mohon Maaf Lepas Viral Video Didakwa Buat ‘Fitnah Politik’
Artikel berkaitan: “Effort memang A+!” – Netizen Terkesima Lihat Hoondoo Nyanyi Ghazal Untuk Rabiah Di Big Stage
Eh aah ek! Wany sorang je
— ?Arif E.? (@arfdy12) February 18, 2024
Jamal Abdillah rasa kurang senang
Terbaharu, media melaporkan penyanyi berusia 65 tahun itu telah mengesahkan pengundurannya daripada pertandingan tersebut.
Menurut Jamal, dia menarik diri disebabkan tidak berpuas hati susulan peserta bertanding secara percuma sedangkan pihak produksi menjual tiket kepada penonton yang ingin menyaksikan AJL38.
Beliau menyatakan rasa kurang senang dengan perkara itu apatah lagi pihak produksi mengaut keuntungan menerusi jualan tiket selain mendapat tajaan.
Dalam pada itu, beliau juga terikat dengan acara lain yang telah dipersetujui lebih awal.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu tentang jualan tiket dan membuat keputusan menarik diri kira-kira sebulan lalu.
“Saya juga sudah berbincang dengan syarikat penerbit lagu dan mereka juga seolah-olah tidak mahu keluarkan bayaran. Jadi saya rasa malas untuk berbincang lanjut dan lebih baik tarik diri.” katanya.
Justeru, beliau berharap pihak produksi akan membuka mata tentang isu tersebut dan tidak mengambil mudah nasib artis baharu.
Jelasnya, sekiranya dia tidak bertindak menarik diri, perkara itu akan terus berlarutan dan nasib penyanyi generasi baharu tidak akan terbela.
“Isu ini bukan soal duit semata-mata, saya ada pendapatan lain juga. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk memperjuangkan nasib artis muda. Kalau saya tak buat perkara ini akan terus berlarutan.
“Setidak-tidaknya keluarkanlah sedikit bayaran kerana produksi menjual tiket dan mereka terima tajaan berjuta ringgit.
“Artis baru mungkin tidak berani bersuara, jadi biar saya yang buat. Kalau produksi nak ban saya pun tidak ada masalah. Bukan senang untuk penyanyi macam kami ini mahu cari rezeki,” ujarnya.
Difahamkan, pihak FMC Music mencadangkan nama penyanyi Afieq Shazwan sebagai pengganti kepada Jamal untuk berduet bersama Wany Hasrita dipentas akhir AJL nanti.
Sumber: mStar