Kementerian Haji dan Umrah menggesa jemaah yang datang dari dalam mahupun luar Arab Saudi bagi mendapatkan kad Nusuk yang baru dilancarkan untuk kegunaan musim haji tahun ini sebelum tiba di Tanah Suci.
Portal berita Al-Jazeera melaporkan jemaah diwajibkan untuk membawa kad tersebut ketika perjalanan dan pergerakan sepanjang tempoh haji bermula dari ketibaan sehingga pulang ke negara masing-masing.
Kementerian itu menegaskan kad tersebut wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk pergerakan mereka antara Mina, Arafah dan juga Muzdalifah dan inisiatif tersebut bertujuan untuk meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim jadi, memudahkan ibadah haji serta meningkatkan keselamatan para jemaah pada musim Haji akan datang.
Terdahulu, Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah memperkenalkan kad jemaah haji Nusuk yang bakal digunakan oleh jemaah haji yang sah dan telah menyampaikan salinan tersebut kepada Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas di Jakarta semasa lawatan rasminya ke Indonesia baru-baru ini.
Difahamkan, kad tersebut mengandungi butiran mengenai pengendali haji masing-masing dan cara berkomunikasi dengannya, selain mempunyai jadual kumpulan jemaah dan alamat kediaman.
Dalam masa yang sama, jemaah haji juga boleh menerima makluman khas, menilai perkhidmatan yang disediakan dan menyalurkan aduan mereka melalui kad digital.
Selain itu, kad tersebut juga bertujuan untuk mengurangkan kadar individu yang mengerjakan haji secara haram dan ianya direka agar mudah dibaca secara automatik dan memudahkan pekerja haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti setiap jemaah.
Menurut kementerian itu lagi, kad tersebut dikeluarkan dalam format digital dan fizikal sementara salinan cetakan kad itu akan dihantar kepada jemaah haji atau pengendali haji masing-masing.
Kementerian itu juga memaklumkan jemaah haji perlu mengimbas kod QR pada kad yang dicetak dan mengikut arahan diberikan bagi mendapatkan versi kad digital kad tersebut.
Artikel berkaitan : “Bukan saya nak jadi hero..” – Dikritik Sebab Berebut Cium Hajar Aswad, Hafiz Mahamad Mohon Maaf
Artikel berkaitan : “Syirik & dosa besar” – Mutawwif Tegur Elak Buat 2 Perkara Ini Ketika Ziarah Jabal Rahmah
Pelbagai kemudahan disediakan oleh kad itu kepada jemaah haji dan paling penting ia berfungsi untuk membuktikan identiti jemaah haji di hadapan pihak berkuasa dengan memaparkan maklumat penting seperti data peribadi, alamat serta rekod kesihatan jemaah, yang dipautkan kepada aplikasi telefon pintar.
Menerusi perbualan di LiveChat Tabung Haji difahamkan jemaah dari Malaysia yang akan mengerjakan haji pada tahun ini perlu memuat turun sendiri aplikasi Nusuk atau Tawakkalna berkenaan sebelum ke tanah suci di telefon pintar masing-masing.
Menurut laman web Tabung Haji, kumpulan jemaah pertama dari Malaysia akan berlepas pada 9 Mei 2024 manakala penerbangan terakhir fasa pertama ialah pada 9 Jun 2024.
Sumber : Al-Jazeera