in

“Apa Yang Berlaku Sebenarnya?” – Kronologi Di Sebalik Kejadian Rusuhan Di Indonesia

Untitled design 11

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak Ogos yang lalu, Indonesia digegarkan dengan demonstrasi besar-besaran di pelbagai daerah. Pada mulanya, ia hanya merupakan protes tentang jumlah elaun yang diperoleh anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan kini ia telah bertukar menjadi rusuhan dan kegiatan menjarah rumah-rumah ahli perwakilan di sana.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila seorang pemandu teksi motosikal dalam talian (ojol) telah digilis kenderaan khas polis milik Kor Briged Bergerak (Brimob) Polis Metropolitan Jakarta (Poldra Metro Jaya) pada 28 Ogos 2025.


Insiden ini membuatkan kemarahan rakyat makin meningkat naik, lagi-lagi apabila isu kos sara hidup memang sudah lama menjadi beban. Berikut kronologi kejadian rusuhan yang kini sedang berlaku di Indonesia:

Ahli DPR menari di Parlimen 

Sebuah video telah tular di media sosial pada 15 Ogos lalu, memperlihatkan ahli DPR sedang menari sesama sendiri selepas tamat acara di sidang parlimen.

@_mas.dho_

Jabawan Menohok Uya Kuya kepada Netizen Bikin Geram Warganet #ham #pbb #dprri #bubarkandpr #100jt

♬ suara asli – creator_kampungan – creator_kampungan

Senyum lebar dan gelak tawa mereka telah mengundang kecaman hebat netizen Indonesia yang menganggap ahli dewan itu seolah-olah tidak peka terhadap penderitaan yang sedang dialami rakyat.

Kontroversi ini semakin hangat kerana pada masa yang sama isu elaun ahli DPR menjadi perhatian ramai dan bahan kritik netizen di seluruh Indonesia.

Artikel Berkaitan: Rakyat Indonesia Berang, Polis Guna Kenderaan Taktikal G*lis Penunggang ‘Ojol’ – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Begini rasanya disayangi dunia” – Bukan Saja Dari Malaysia, Serata Dunia Kini Kirim Makanan Buat Pemandu Ojol Indonesia – Lobak Merah

Elaun ahli DPR 

adies kadir

Wakil Ketua DPR Indonesia, Adies Kadir, menafikan kontroversi mengenai kenaikan gaji ahli anggota DPR. Menurut beliau, gaji pokok ahli DPR tidak pernah meningkat kenaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kalau gaji pokok tidak ada kenaikan. Gaji pokok tetap sama,” katanya

Namun, Adies Kadir mengakui bahawa pendapatan ahli DPR meningkat kerana pelbagai elaun tambahan, seperti elaun kesihatan, elaun beras dan elaun anak. Jadi, apabila digabungkan dengan gaji pokok, jumlah keseluruhan boleh mencecah sekitar Rp70 juta sebulan, dan ini belum termasuk dengan elaun perumahan lagi.

Bagi elaun perumahan pula, beliau menganggarkan jumlahnya sekitar Rp50 juta sebulan, bergantung kepada kos sewa dan kemudahan asas rumah yang disewa.

Justeru itu, Adies menegaskan bahawa jumlah elaun ini wajar, mengambil kira keperluan ahli DPR untuk tinggal di rumah yang selesa dan mempunyai tempat letak kereta.

“Kalau sewa rumah, saya kira-kira anggap sekitar 3 juta sebulan. Kalau 3 juta dikali 12 sudah jadi 36 juta, belum termasuk kalau mereka ambil seorang pembantu, kemudian perlu bayar pemandu dan lain-lain. Jadi, jumlah 50 juta itu sudah termasuk kemudahan seperti pembantu dan perkara lain,

“Mereka perlu menyewa rumah yang mempunyai tempat letak kereta dan garaj untuk kenderaan mereka. Jadi saya rasa sekitar 50 juta sebulan adalah jumlah yang munasabah,” katanya lagi.

Menurut Detikinet, salah seorang ahli DPR, Nafa Urbach, turut menyokong kenaikan elaun perumahan yang diberikan kepada ahli DPR.

Beliau menjelaskan bahawa ramai ahli DPR berasal dari luar bandar, justeru perlu menyewa rumah berhampiran Dewan Parlimen di Senayan, Jakarta. Nafa turut memberi contoh dirinya sendiri yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk dari kediamannya di Bintaro, Tangerang Selatan.

“Dewan tidak disediakan rumah rasmi kerana ramai anggota dewan berasal dari luar kota. Oleh itu, ramai yang menyewa rumah berhampiran Senayan supaya mudah ke bangunan DPR. Saya sendiri tinggal di Bintaro, dan kesesakannya memang luar biasa,” tambahnya.

Penjelasan begini hanya menambahkan kemarahan netizen Indonesia kerana ia seolah-olah tidak memahami kesusahan rakyat. Apatah lagi apabila pendapatan rakyat biasa tidak pernah mencecah jumlah yang dinyatakan.

Malah, gaji seorang guru di sana dikatakan cuma sekitar Rp350 ribu sebulan, iaitu bersamaan kira-kira RM90 sahaja di Malaysia, lapor Vocket.

Netizen Indonesia dipanggil ‘Orang Tolol’ 

ahmad sahroni

Susulan kemarahan yang semakin memuncak terhadap isu elaun, netizen Indonesia mula melancarkan seruan di media sosial agar DPR dibubarkan. Kumpulan yang membuat seruan ini menamakan diri mereka sebagai “Revolusi Rakyat Indonesia” dan seruan tersebut telah disebarkan hampir seminggu sebelum hari pelaksanaan, lapor Tempo.

Namun, Wakil Ketua Komisi III DPR, Ahmad Sahroni telah menyifatkan mereka yang mengajukan seruan itu sebagai ‘orang tolol’.

“Orang yang cuma mental bilang bubar DPR, itu adalah orang tolol sedunia,” katanya selepas Kunjungan Kerja (Kunker) di Polda Sumut.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya mempersilakan sahaja bagi netizen untuk mengkritik, malah mencaci sekalipun, namun tidak perlulah mengeluarkan kenyataan secara keterlaluan sehingga menyinggung atau menjatuhkan maruah seseorang manusia itu.

“Masyarakat boleh mengkritik, mengadu malah mencaci kami, itu tidak mengapa, kami boleh terima. Namun ada adab dan batasan yang perlu dijaga. Nak panggil apa-apa pun boleh, tapi jangan sampai mencaci maki secara berlebihan kerana ia merosakkan mental manusia. Orang yang bersikap demikian adalah orang yang paling tolol di dunia. Catat itu,” katanya.

Demonstrasi Revolusi Rakyat Indonesia

protes jakarta

Pada Khamis, 28 Ogos, demonstrasi besar-besaran bermula di hadapan bangunan Parlimen DPR, Jakarta. Pada awalnya, ia dianjurkan oleh kesatuan pekerja dengan enam tuntutan utama:

  1. Menghapuskan sistem pekerja kontrak (outsourcing)
  2. Menolak gaji rendah
  3. Menghentikan pembuangan pekerja
  4. Mempercepatkan perbincangan Rang Undang-Undang Pekerjaan
  5. Mempercepatkan perbincangan Rang Undang-Undang Perampasan Aset
  6. Mendesak DPR menyemak semula undang-undang pilihan raya

Demonstrasi itu berlangsung secara aman sehingga kira-kira jam 12 tengah hari. Namun, keadaan menjadi tegang apabila lebih ramai peserta mula memenuhi kawasan sekitar Parlimen dengan tuntutan yang lebih keras, termasuk pembubaran DPR dan pencabutan elaun anggota dewan yang dikatakan mencecah Rp100 juta sebulan.

Kematian Affan Kurniawan

affan

Ketegangan memuncak apabila sebuah kenderaan khas polis milik Brigade Mobil (Brimob) melanggar seorang pemandu teksi motosikal (Ojol) dalam talian, Affan Kurniawan, 21 tahun, di hadapan bangunan Parlimen DPR ketika pasukan polis cuba untuk menghentikan demonstrasi.

Kematian Affan mencetuskan kemarahan orang ramai, khususnya komuniti penghantar makanan dan pemandu e-hailing, yang kemudian bertindak mengepung ibu pejabat Brimob di Jakarta.

Difahamkan juga pihak polis sudah pun meminta maaf secara berdepan, namun rakyat Indonesia masih berang dan tidak setuju dengan tindakan pihak polis.

Keesokan harinya, 29 Ogos, jenazah arwah Affan disolatkan di rumah keluarga di Menteng sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Umum Karet Bivak.

Sepanjang perjalanan, ribuan pemandu ojol mengenakan jaket hijau mereka sambil mengiringi van jenazah yang mencipta pemandangan seperti lautan manusia sebagai tanda solidariti terakhir mereka.

Demonstrasi berterusan dan merebak ke beberapa bandar lain seperti Bandung, Makassar dan Surabaya, menurut laporan Al Jazeera.

Pencerobohan rumah kediaman ahli DPR 

bathtub

Di saat kekecohan itu, tular khabar di media sosial bahawa beberapa anggota dewan telah keluar ke luar negara, termasuk Ahmad Sahroni. Berita tersebut telah membuatkan kemarahan orang ramai meletus, sehinggakan ratusan individu tiba-tiba datang menyerbu kediaman Ahmad Sahroni di Jakarta Utara.

Pada 30 Ogos, ratusan individu bukan sahaja menceroboh kawasan kediaman ahli DPR itu, namun telah merosakkan harta serta ‘merampas’ pelbagai barangan milik ahli DPR tersebut, termasuklah kerusi, almari, peti, jam tangan dan macam-macam lagi.

Tindakan itu turut disiarkan secara langsung di TikTok oleh beberapa individu yang berada di lokasi. Secara tidak langsung, kejadian ini menjadi topik hangat perbincangan di media sosial baru-baru ini.

Status terkini

prabowo

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersama pimpinan parti politik di Parlimen telah bersetuju untuk menghapuskan elaun ahli DPR serta menghentikan semua lawatan kerja ke luar negara, menurut laporan Astro Awani.

Keputusan ini diumumkan di Istana Merdeka, Jakarta, susulan desakan orang ramai berikutan siri demonstrasi membantah gaji berlebihan dan elaun perumahan bagi ahli parlimen di beberapa wilayah negara.

Menurut Prabowo, beberapa dasar DPR telah dipersetujui untuk dibatalkan, termasuk elaun penggubal undang-undang dan moratorium perjalanan ke luar negara.

Beliau turut menegaskan parlimen akan membuka ruang dialog terus dengan rakyat dalam masa terdekat sebagai usaha mendengar dan menyalurkan aspirasi masyarakat.

“Saya juga akan meminta kepimpinan Dewan menjemput ketua masyarakat, wakil pelajar serta kumpulan yang ingin menyuarakan pandangan mereka supaya dapat didengari dan terlibat dalam dialog,” ujarnya.

Difahamkan juga, cadangan lain daripada orang ramai juga akan dilaksanakan melalui wakil yang diterima terus oleh Parlimen.

Selain itu, pada 1 September, 5 anggota DPR Indonesia telah digantung tugas oleh parti masing-masing ekoran kenyataan mereka yang mencetus kemarahan rakyat Indonesia.

Tiga parti politik utama, iaitu NasDem, PAN dan Golkar, mengambil langkah ini sebagai tindak balas terhadap demonstrasi besar-besaran yang berlaku di pelbagai wilayah Indonesia dalam beberapa hari yang lalu.

Antara 5 ahli DPR yang digantung tugas ialah:

  • Ahmad Sahroni daripada parti NasDem, Wakil Ketua Komisi III DPR, yang menyifatkan mereka yang menyeru pembubaran DPR sebagai “orang tolol”.

  • Nafa Urbach, juga daripada NasDem dan ahli Komisi IX DPR, yang mempertahankan elaun perumahan DPR sebanyak Rp50 juta sebulan sebagai wajar dan tidak membebankan rakyat.

  • Eko Hendro Purnomo atau Eko Patrio daripada parti PAN, yang digantung tugas selepas kenyataannya dianggap tidak sensitif terhadap keresahan rakyat.

  • Surya Utama atau Uya Kuya, juga daripada PAN dan ahli Komisi IX DPR, turut digantung tugas atas alasan yang sama bersama Eko Hendro Purnomo.

  • Adies Kadir, Wakil Ketua DPR, digugurkan kerana kenyataannya mengenai kelayakan elaun DPR dianggap tidak selari dengan semangat reformasi dan kepedulian sosial.

Langkah-langkah terkini oleh Presiden Prabowo Subianto dan parti politik utama di Indonesia telah menunjukkan bahawa demonstrasi besar-besaran rakyat berjaya memberikan impak nyata terhadap dasar dan kelakuan ahli DPR.

Sumber: Aljazeera, Sinar Harian, Astro Awani, Tempo, Suara, Tribunnews, Detik, Detikinet

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.