Di zaman sekarang, talian internet merupakan satu keperluan penting tak kiralah di mana saja kita berada. Melalui internet, kita dapat berhubung dengan semua orang, atas apa-apa urusan sekalipun. Perihal kerja, pembelajaran dalam talian, hiburan, kini semuanya dihujung jari saja.
Tapi pernah tak sebelum ni korang guna talian Wi-Fi jiran korang yang tak letak kata laluan (password)? Mungkin kita fikir yang sebenarnya benda tu tak ada apa, kira rezeki lah dapat Wi-Fi percuma, kan?
Baru-baru ini, bekas Mufti Wilayah Persekutan, Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri telah menyatakan hukum menggunakan talian Wi-Fi oleh individu lain tanpa meminta kebenaran mereka adalah haram.
Mengulas lanjut pada laman Maktabah Al Bakri, kita sememangnya telah dilarang untuk menggunakan atau memakan harta benda seseorang secara batil.
Dalam konteks ini, mencuri atau menggunakan talian Wi-Fi tanpa kebenaran juga termasuk dalam kategori perkara menggunakan harta secara batil, yang mana merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan diperoleh dengan cara perjudian.
Tambahnya lagi, terdapat sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW pernah bersabda tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.
Walau bagaimanapun, keadaannya berbeza sekiranya Wi-Fi tersebut memang disediakan untuk kegunaan umum di tempat awam seperti di pusat beli belah atau restoran.
Ini kerana kegunaan itu diketahui pemilik Wi-Fi yang mengizinkan situasi itu untuk para pelanggannya, maka perkara ini dibolehkan. So kalau korang pergi food court atau perpustakaan, boleh saja kalau nak gunakan Wi-Fi diorang…
Mungkin ada yang menganggap bahawa perkara ini adalah sesuatu yang remeh, namun tak sedaplah kalau kita nak buat perkara haram walau sekecil-kecil perkara, kan? Semoga bermanfaat buat semua.