Disebabkan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif untuk menutup sekolah-sekolah buat sementara waktu.
Oleh itu, para guru dan pelajar perlu beralih dengan meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara atas talian bagi menggantikan pembelajaran secara bersemuka di sekolah.
Namun, kegigihan guru-guru dalam mengendalikan kelas secara online ini sering kali dipandang enteng oleh sesetengah pelajar yang malas dan mengambil sikap sambil lewa untuk melibatkan diri dalam kelas online.
Menerusi satu posting yang dimuat naik oleh seorang gadis yang bernama Nuha di laman Twitternya semalam, dia telah berkongsi pengalaman bapanya yang merupakan seorang cikgu yang pada akhirnya hanya menghadap laptop apabila tiada seorang pun anak murid bapanya itu menghadiri kelas yang diadakan secara online.
Kesiannya abi, dia buat class budak budak dia sorang pun tak masuk. Sampai abi nak kena call sorang sorang, tu pun diaorang tak angkat. diaorang tahu abi akan call diaorang kalau waktu hari ada class then diaorang mati kan fon ?
— Nuha | Skin Leas (@skinleas) November 25, 2020
Setengah jam tunggu anak murid depan laptop
Menurut gadis itu, bapanya yang merupakan seorang guru yang mengajar mata pelajaran bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menanti para pelajarnya di hadapan laptop hampir setengah jam.
Namun, penantian itu menjadi sia-sia apabila tiada seorang pun yang mendaftar masuk untuk kelas online itu.
Bukan setakat menunggu, malahan bapanya juga turut cuba untuk menghubungi para pelajarnya seorang demi seorang namun pelbagai alasan diberikan mereka untuk tidak menyertai kelas online tersebut.
Kasi alasan kerja, ada tak angkat call langsung
Antaranya ada yang memberikan alasan sedang bekerja sambilan. Malah ada yang lebih teruk apabila langsung tidak mengangkat panggilan telefon tersebut.
Dengan guru pun biadap, macam mana nak berkat ilmu tu.
Anak ‘join’ kelas online bapa, nak gembirakan hati
Gadis ini yang berasa sebak dengan situasi itu akhirnya mengambil keputusan untuk mendaftar masuk ke dalam kelas online bapanya itu.
Tujuannya adalah untuk menggembirakan hati bapanya yang sudah tentu berasa sedih dengan sikap sambil lewa para pelajarnya.
Tambah gadis itu lagi, sebelum ini bapanya itu kelihatan ‘eksited’ untuk meminta bantuan daripadanya tentang cara untuk membuat kelas online menggunakan aplikasi zoom dan google meet.
Namun, keterujaan bapanya itu ‘lenyap’ apabila para pelajarnya langsung tidak menghargai usaha guru mereka yang cuba untuk menyampaikan ilmu walaupun tidak mahir untuk menggunakan teknologi-teknologi terkini.
Perkongsian yang dibuat oleh gadis ini semalam akhirnya tular di media sosial sehinggakan rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap usaha bapanya itu. Ada juga netizen yang mengecam perbuatan anak murid si bapa yang biadap dengan guru sedangkan mereka bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.
“Weh sedihnyaa” – Netizen
Keberkatan sesuatu ilmu tu bergantung kepada reda seorang guru.