Sudah menjadi lumrah, ibu bapa pasti akan back up anak tidak kira apa sahaja situasi, namun jika anak itu melakukan sesuatu yang salah, mereka perlu bertindak rasional.
Lain pula ceritanya di Kota Kinabalu, Sabah apabila seorang bapa ditahan selepas memarahi dan mengugut guru gara-gara mengambil tindakan terhadap anaknya yang dikatakan merokok di kawasan sekolah.
Artikel berkaitan: Sudah Pencen 20 Tahun Lalu, Guru Di Indonesia Aktif Mengajar Matematik Di TikTok
Artikel berkaitan: Dakwa 2 Kali Kena Gangguan Seksual 4 Tahun Lalu, Pelajar 17 Tahun Heret Guru Ke Mahkamah
Menurut laporan Berita Harian, bapa yang berusia 49 tahun itu ditahan selepas laporan polis diterima daripada guru terbabit, guru berusia 40 tahun itu difahamkan telah menahan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam tandas sekolah berkenaan.
Selepas dia dicekup oleh guru itu, pelajar tersebut dikatakan sempat menghubungi bapanya yang kemudiannya datang ke sekolah dan cuba menyerang guru terbabit.
“Keadaan tegang apabila lelaki terbabit yang datang dalam keadaan marah kerana mendakwa guru terbabit memukul anak lelakinya.
Guru berkenaan menerangkan kejadian sebenar membabitkan pelajar itu namun bapa terbabit tidak dapat menerima dan terus memaki hamun serta mengamuk di dalam kawasan sekolah,” katanya.
Lebih merisaukan, bapa pelajar terbabit dikatakan bertindak agresif termasuk menolak dan mencekik guru berkenaan sehingga hampir terjatuh.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap guru sekolah.
Selain itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelajar berkenaan masih dibenarkan mengambil SPM walaupun sudah dibuang sekolah.
Sumber: Berita Harian