“Perang masih belum tamat. Ia ada di depan saya dan dalam diri saya.”
Begitulah kata-kata Ramez Al-Masri, 39, seorang lelaki Palestin selepas melihat rumah tiga tingkat milik keluarganya hancur musnah akibat terkena serangan tentera Israel. Ramez dan keluarganya merupakan antara ribuan rakyat Palestin lain yang terjejas teruk selepas menjadi mangsa serangan Israel.
Menurut bapa kepada enam orang anak itu, meskipun gencatan senjata sudah diumumkan, ia sudah terlambat untuk menyelamatkan kediamannya.
“Bila saya balik rumah, saya nampak satu lubang besar yang menggantikan rumah kami. Saya sangat terkejut,” ujarnya.
Serangan rejim Zionis yang bermula pada 10 Mei lalu sudah meragut nyawa sekurang-kurangnya 248 orang termasuk 66 orang kanak-kanak di Gaza. Manakala, 12 warga Israel terkorban, lapor Malay Mail.
Ujar Ramez lagi, ini merupakan kali kedua rumahnya musnah dibedil Israel. Kali pertama ia musnah adalah pada tahun 2014.
“Saya mengambil masa tiga tahun untuk membinanya semula. Jadi sekarang saya perlu ambil masa tiga tahun lagi untuk membina semula rumah saya? Adakah ia akan ambil masa sehingga musim panas tahun 2024?,” katanya.
Setakat ini, Ramez dan keluarganya tinggal bersama saudara lain sambil menunggu bantuan supaya mereka boleh menyewa rumah baru sementara rumah mereka dibina semula.
“Semuanya musnah. Tak ada apa-apa yang tinggal.”
Lapor Harian Metro, buat pertama kalinya selepas gencatan senjata diumumkan, ribuan penduduk Palestin keluar untuk melihat bangunan dan kediaman yang rosak serta mengebumikan jenazah mereka yang terkorban.
Menurut seorang lagi warga Palestin, Umm Mohammed, dia mendedahkan dirinya juga kehilangan rumah keluarganya dan keldai dalam serangan udara Israel. Malah, anak-anaknya juga masih trauma.
“Anak saya, Akram hanya berusia empat hari semasa perang tahun 2014 bermula. Saya berkata kepada diri sendiri untuk pastikan dia tak akan lalui mimpi ngeri itu lagi. Tapi, dia dan anak saya yang lain kini trauma akibat serangan baru-baru ini,” katanya.
Kata jirannya pula yang dikenali sebagai Thaer, erti keamanan sebenar adalah apabila sekatan Israel di Gaza yang wujud sejak tahun 2007 ditamatkan.
“Keamanan bermaksud kami boleh menghampiri checkpoint Israel tanpa ditembak dan boleh pergi dan bekerja di Israel,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk Palestin, Nazmi Dahdouh, 70, juga kehilangan tempat berteduh dalam serangan sama. Warga emas itu mendedahkan dia akan tinggal di dalam khemah di atas runtuhan rumahnya sehingga ia dibina semula susulan tidak mempunyai tempat berteduh lain.
Sementara itu, lapor sumber lagi, susulan pengumuman gencatan senjara antara Israel dan Hamas yang bermula pada 2 pagi Jumaat lalu, bantuan kemanusian sudah mula memasuki Semenanjung Gaza.
Difahamkan, konvoi lori bantuan yang membawa makanan, bahan api dan ubat-ubatan sudah mula memasuki pintu masuk Kerem Shalom selepas ia dibuka semula oleh Israel.
Sumber: Malay Mail, Harian Metro
Baca: “Laungan takbir dan jeritan keseronokan bergema”- Israel & Gaza Umum Gencatan Senjata